Lima tahun bergerak dalam mencipta magis bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM) yang menjadi kegilaan anak muda menerusi lagu yang dibawa, Akim Ahmad kini kembali dengan projek solo menerusi lagu Bayang.
Susulan itu, Akim juga mendakwa bergerak secara solo tersebut tidak bermakna dia sudah meninggalkan kumpulan itu di samping telah berjaya melangkah jauh dan mencipta nama bersama-sama. Akim juga berkata, dia dan kumpulan itu akan terus aktif.
Dalam pada itu, Akim memaklumkan ATM masih ada, tetapi pada masa ini mereka dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika.
Menurut Akim, Bayang yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu mengisahkan tentang kehidupan seharian malah lagu tersebut baginya cukup istimewa kerana ia adalah hasil cetusan idea bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy Anam.
“Oleh kerana lagu ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula. Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad.
“Selain itu, Bayang sangat berbeza dengan single saya sebelum ini kerana boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi bunyi dan muzik juga berbeza dengan ATM. Muzik lagu ini lebih mengetengahkan instrumen elektronik.
“Tambah pula, Bayang sudah ada dalam simpanan sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan kepada saya untuk merakam sahaja, tetapi, saya cakap nanti dahulu,” katanya.
Berkongsi kepada media, dia tidak menyangka kebetulan ada projek terbaharu daripada Nova Music yang memerlukannya untuk merakam sebuah lagu secara solo. Ketika proses rakaman, isterinya sendiri membantu menjaga vokal sehingga tamat.
Turut menjelaskan lagu tersebut dipilih menjadi satu daripada lagu tema utama drama bersiri Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading. Bayang bakal diselang-selikan sebagai lagu latar opening credits dan ending credits drama tersebut malah lirik lagu juga ditulis berdasarkan sinopsis drama itu.
Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman boleh distrim di semua pelantar muzik digital serta boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.










