Hun Haqeem pakai mask, naik LRT lihat manusia

Hun Haqeem pakai mask naik LRT lihat manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUN Haqeem menempuh jarak kira-kira 100 kilometer untuk pertemuan kami petang itu. Wajahnya sedikit pucat, matanya merah namun tetap menyapa ramah.

“Maaf, saya dari semalam belum tidur kerana penggambaran di Kuala Pilah. Tapi jangan risau, saya sudah minum kopi,” katanya ketika saya bertanya sekali lagi adakah dia benar-benar larat mahu meneruskan perbualan. Aktor TV Popular, Anugerah Bintang Popular itu ketawa, berkali-kali mengangguk, cuba meyakinkan.

Kami duduk bertentangan sebelum dia kemudian mengakui jadualnya sangat sibuk akhir-akhir ini. Mungkin sudah tahun baharu, namun pelakon yang mula meledak dengan siri Kampung People itu terkilan tidak dapat meraikan peralihan waktu dengan orang yang disayang.

“Sebenarnya motivasi saya untuk kuat bekerja selama ini adalah demi bahagiakan keluarga dan orang yang saya sayang. Tapi bila sudah dapat berikan semua itu, sayangnya saya tiada masa untuk mereka.

“Ibaratnya beginilah, saya bersungguh perjuangkan sesuatu untuk seseorang, tapi sepanjang tempoh itu saya tiada ruang dan kesempatan untuk ada bersama mereka,” ucapnya.

Mendengar kata-kata itu, saya kemudian menolak tepi soalan-soalan tentang industri, atau trend naskhah masa kini yang telah dirangka. Mata saya tidak beralih memandang Hun, memberi signal bahawa saya bersedia mendengar apa sahaja yang ingin diluahkan pelakon Sarawak itu sebagai manusia biasa. Bukan sebagai selebriti dengan 800,000 pengikut, bukan sebagai duta jenama terkemuka. Hanya dua ‘kawan’ bersemuka.

Mengimbas siri temu ramah sebelum ini, saya tidak pernah melihat Hun sejujur ini ketika bercakap tentang perasaan. Mungkin keletihan membuatkan seseorang lebih terbuka mengakui kerapuhan.

Sebelum segala populariti bermula, graduan Komunikasi Korporat, Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur ini telah melalui beberapa fasa dalam hidup, seperti menjadi seorang barista di francais kopi terkemuka hinggalah budak korporat yang perlu tebuk kad kerja sembilan pagi dan pulang hampir senja.

Namun, rezeki bergelar anak seni sudah menjadi takdir jejaka 27 tahun ini. Saya tahu, Hun jauh sekali bermaksud ingin mengeluh, apalagi kerjaya ini memang cita-cita yang diidamkannya sejak dulu. Cuma dia sekadar mahu berkongsi,menjadi anak seni juga menagih masa dan hidup yang serba tergesa-gesa.

“Menjadi selebriti membuatkan saya pernah tengok bermacam ragam manusia. Ada juga situasi di mana kita nampak orang itu sudah memiliki semuanya, tapi jiwa mereka seperti kosong.

“Semuanya bergerak pantas hari ini membuatkan kita lupa menghargai sekecil-kecil perkara, seperti lupa mengucap terima kasih kepada orang yang pernah bukakan pintu untuk kita. Kadang kita nampak orang susah, hati kita sudah tiada lagi rasa ingin membantu,” tambahnya.

Pelakon Chinta Wrong Direction ini juga mengakui kehadiran media sosial sesekali merampas empati dan membuatkan manusia gagal membangun perhubungan empat mata. Canggung bila diajak berborak dan tidak bergaul seperti seharusnya.

“Media sosial buat kita seperti tidak hidup dalam realiti. Kita pentingkan ego. Contohnya, kita lupa hadiri majlis persandingan kawan. Hanya kerana kita malu, mahu jaga air muka sendiri, kita tergamak menahan diri daripada mengucapkan tahniah atau setidaknya komen di gambar yang dimuat naik.

“Saya sangat hargai ‘human connection’, contohnya kalau ada yang rakam saya diam-diam dari jauh. Saya harap mereka faham bahawa mereka boleh sahaja datang dekat dan tegur saya macam biasa. Jangan salah faham, saya bukan marah. Tapi saya meraikan pertemuan dan perbualan.

“Ya, saya faham eksklusiviti sebagai selebriti mungkin orang takut mahu tegur. Tapi saya juga manusia biasa, tiada masalah untuk ajak saya berbual. Saya lebih gembira begitu,” jelasnya.

Ditanya apakah yang dilakukan Hun untuk memperlahankan hidup yang serba laju, rupanya anak bongsu daripada empat beradik ini gemar menaiki transit aliran ringan (LRT) untuk sekadar melihat manusia.

“Saya suka buat dua perkara, pertama saya suka naik LRT. Kadangkala kalau saya cuti, saya akan pakai topeng muka dan duduk dalam LRT. Saya seorang observer, saya suka mengamati ragam manusia.

“Selain itu, saya suka menunggang motor. Saya akan ke mana-mana dan ambil gambar.

“Saya sentiasa ingatkan diri untuk hargai benda-benda kecil dalam hidup dan cari kebaikan yang terjadi dalam hidup. Jika ada yang bawakan air untuk saya di set penggambaran hari ini, esok saya akan balas balik semua itu.

“Bukan apa, punyalah laju semua benda kadang ada juga yang tidak hargai orang sekeliling. Sedangkan mereka juga manusia. Cakaplah elok-elok dengan mereka dan rajin mulut bertanya khabar,” tambahnya yang pernah menghadiri 10 sesi terapi untuk memahami gelojak diri.

MIMPI MASA KECIL

Saya kemudian bertanya, selain menjadi pelakon, apalagi mimpi masa kecilnya. Hun yang perahsia soal keluarga kemudian bercerita tentang adik-beradiknya yang sangat mencintai muzik.

Kakaknya, Nureen Qistina merupakan seorang pemain gitar profesional band XPOSE.

Cerita Hun, semasa masih awal 20-an, dia dan kakaknya itu selalu ‘busking’ di sekitar Nilai, Negeri Sembilan. Dia akan menyanyi diiringi petikan gitar kakak. Jelas Hun, sebelum lakonan, nyanyian ialah cinta pertamanya.

Bahkan semasa masih di bangku sekolah dahulu, mukanya sahaja yang tampil membuat persembahan semasa acara penting baik Hari Guru, Anugerah Kecemerlangan mahupun Hari Kantin.

Menariknya, penyanyi pilihannya setiap kali membuat persembahan tentu sahaja Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza.

“Sebenarnya saya terfikir mahu terjun secara serius ke bidang nyanyian. Saya pernah pergi ke kelas vokal di Cyberjaya. Setiap kali lepak dengan kawan penyanyi seperti Naim Daniel dan Ismail Izzani, pasti saya minta nasihat mereka soal muzik.

“Cuma, saya tidak mahu terlalu laju. Seperti tiba-tiba sudah buat persembahan majlis besar siaran langsung,” katanya yang pernah mencuri tumpuan ketika menyanyi sebagai ‘Roti John’ di program The Masked Singer tahun lalu.

Kini, pelakon itu menyahut cabaran dan sedia bergelar penyanyi menerusi lagu debut ‘Untuk Semua Jiwa’. Ia juga merupakan runut bunyi untuk filem pertama lakonanya, Game of Life yang bakal menemui penonton 23 Januari ini.

Tidak mahu menahan Hun Haqeem lebih lama, saya mengakhiri perbualan. Hun tetap tersenyum sehinggalah lambaian terakhirnya di muka pintu pejabat kami ketika mengundur diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×