Universiti bukan semata-mata tempat untuk menimba ilmu akademik. Sebaliknya ia juga perlu menjadi medan siswanya menyiapkan diri dengan ilmu kemasyarakatan, sebagai nilai tambah kepada bakal pemimpin negara pada masa depan.
Baru-baru ini, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam projek membaik pulih dan menyiapkan Surau Asrama Al Falah, Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN), Jitra di Kedah yang bernilai RM100,000.
Majlis penyerahan surau yang boleh memuatkan 170 jemaah itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali baru-baru ini.
Dr. Hendrik berkata, projek itu diusahakan oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa Inapan Siswa MAS/TNB (Malten) UUM itu, diketuai Muhammad Saniy Samsudin dengan SMKPN bagi membantu mencari dana tambahan serta rakan strategik untuk menyiapkan surau asrama berkenaan.
“Kami di UUM sebagai sebuah universiti pengurusan sentiasa memberi sokongan dan membantu masyarakat serta komuniti setempat seiring dengan hasrat Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani,” katanya.
Jalinan hubungan dengan rakan strategik antaranya Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara Sintok, Umbai, Majlis Staf SMKPN, Alumni SMKPN, Koperasi SMKPN, Suhail Solution Sdn Bhd,
Poliklinik Padang Sera dan rakyat seluruh Malaysia berjaya membangunkan surau tersebut.
Terdahulu Pengetua SMKPN, Ku Azizan Ku Othman yang akan bersara wajib amat gembira kerana akhirnya dapat menyiapkan surau asrama sekolah ini sebelum persaraannya.
Katanya, penyerahan surau asrama itu menunjukkan matlamat konsep Program Transformasi Sekolah 2025 (TS2025) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti, berjaya dilaksanakan.
“Kami gembira dapat menyediakan persekitaran pembelajaran menyeronokkan dengan penglibatan semua pihak,” katanya.
Sempena majlis penyerahan surau, Dr. Hendrik turut menyampaikan sumbangan ihya Ramadan kepada beberapa pelajar asrama sekolah berkenaan.









