Dalam berhadapan pandemik Covid-19, sesi pembelajaran secara dalam talian memainkan peranan sangat penting. Menyedari hal ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Melaka mengambil inisiatif menyediakan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan.
Sumbangan 30 unit komputer riba oleh zakat korporat Tabung Haji kepada pelajar UiTM Cawangan Melaka itu adalah sebahagian daripada peruntukan sumbangan lebih 500 komputer riba secara percuma kepada pelajar asnaf UiTM seluruh negara.
Rektor, Prof. Dr. Abd Halim Mohd. Noor berharap, penerima memanfaatkan sebaik mungkin sumbangan komputer riba ini khusus untuk tujuan pembelajaran.
“Kita mengharapkan pelajar memanfaatkan sebaik mungkin komputer riba ini, seterusnya memanfaatkan sumbangan dari tabung zakat ini tujuan sesi pembelajaran.
“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih khususnya dalam mempertingkatkan prestasi dan pencapaian akademik masing-masing”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba oleh Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), UiTM Cawangan Melaka kepada 30 pelajar asnaf miskin UiTM Melaka, baru-baru ini.
Penyerahan disempurnakan Dr. Abd. Halim Mohd Noor. Turut hadir, Koordinator Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), UiTM Melaka, Muaz Mohd. Noor.
Sementara itu, Muaz berkata, antara hasrat utama pihak penyumbang adalah membantu pelajar kategori keluarga B40 setiap cawangan memudahkan pembelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia berikutan terdapat banyak kes pelajar IPT tidak memiliki peranti elektronik sesuai untuk proses pembelajaran secara Open and Distance Learning (ODL).
“Atas dasar tanggungjawab sosial dan kebajikan, beberapa pihak termasuk Tabung Haji menghulurkan bantuan kepada pelajar memerlukan, khususnya dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah (B40),” katanya.
Dalam pada itu, Unit El-Wazif turut mengalu-alukan sekiranya ada badan korporat atau syarikat swasta yang ingin menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.










