Bajet kecil, drama tempatan tidak setanding negara luar

Bajet kecil, drama tempatan tidak setanding negara luar

BETO KUSYAIRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Beto Kusyairy, berpendapat tidak adil untuk penonton membandingkan drama bersiri tempatan dengan luar negara yang dihasilkan menggunakan peruntukkan lebih tinggi.

Jelas Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, produksi mewah seperti di Indonesia dan Korea Selatan memperuntukkan jutaan ringgit untuk satu episod sekali gus membolehkan mereka mengupah tenaga kerja lebih berkemahiran.

“Saya beri contoh drama popular Squid Game dengan bajet sekitar RM4 juta untuk satu episod. Bajet itu berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding peruntukan yang kita ada untuk hasilkan drama di Malaysia. Di sini, satu episod kadang kala hanya sekitar RM300 hingga RM400 sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh sebab bajet yang tinggi, mereka boleh upah tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Kita harus ingat, kemahiran tidak murah, ada harga yang perlu dibayar untuk dapatkan mereka.

“Saya percaya kita ada penulis skrip yang baik. Cuma tidak semua produksi berani keluarkan duit yang banyak untuk bayar kemahiran mereka, kita juga tidak mahu ganggu pasaran para penulis skrip jika asyik minta harga murah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beto mengulas mengenai kualiti drama bersiri di Malaysia yang selalu dibandingkan dengan karya luar negara.

Bagaimanapun, Pelakon Le­laki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33 itu tidak menafikan kualiti drama bersiri di Malaysia beberapa tahun belakangan ini sudah semakin baik khususnya daripada aspek penceritaan dan penerbitan.

“Saya berpendapat, perkara positif yang berlaku dalam industri drama televisyen (TV) ialah penambahbaikan skrip dan kualiti penerbitan walaupun tidak berlaku secara drastik.

“Peningkatan ini perlu memandangkan penonton sudah tidak lagi menonton TV kerana cenderung memilih platform penstriman.

“Oleh itu, stesen TV perlu tampilkan kelainan untuk bersaing dengan kandungan yang sedia ada,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa drama bersiri tempatan seperti Curang Tanpa Niat, Perempuan Itu dan Andai Tiada Dia mula mencuri perhatian kerana skrip yang menjentik emosi.

Bagaimanapun, terdapat pi­hak kurang senang dengan tema curang ditampilkan sekali gus membandingkan drama tempatan dengan Korea Selatan dan Indonesia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini