BANGKOK: Sawah padi seluas 0.8 hektar di utara Thailand diubah menjadi karya seni yang menggambarkan seekor naga dan kucing, simbol harapan dan ketabahan ketika masyarakat pulih daripada banjir di kawasan berkenaan.
Pemilik ladang, Tanyapong Jaikham berkata, gambaran kucing itu mewakili penduduk kampung halamannya di Chiang Rai yang menghadapi banjir besar semasa musim tengkujuh tahun lalu.
Naga, simbol zodiak tahun lepas, ditunjukkan dengan melindungi kucing itu.
Tanyapong yang juga seorang jurutera autombil, bekerjasama dengan 20 yang lain termasuk rakan dan keluarganya untuk mencipta reka bentuk unik itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan imejan satelit dengan tumbuhan padi sebagai medium utama.
Berbekalkan perancangan dan pelaksanaan yang teliti dalam tempoh sebulan, karya seni itu menelan belanja sekitar 500,000 baht (RM65,100) untuk disiapkan.
“Seni itu memerlukan perhatian yang tinggi terhadap perincian, jadi kami perlu berhati-hati.
“Tetapi dengan bantuan teknologi hari ini, ia menjadi lebih mudah.
“Karya seni itu dibuka kepada orang ramai pada penghujung Disember, tetapi kami belum bersedia menerima jumlah kunjungan yang ramai,” katanya.-AFP










