TEL AVIV: Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan ekstrem, Bezalel Smotrich menyifatkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas sebagai ‘buruk dan berbahaya’.
Menerusi satu hantaran dalam media sosial X, Smotrich menegaskan syarat jelas untuk mereka kekal dalam Kerajaan adalah kepastian mutlak untuk kembali berperang dengan kekuatan besar.
Perjanjian tersebut, yang dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari ini, dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan Israel, semalam.
Bagaimanapun, Smotrich dan seorang lagi Menteri berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian tersebut.
Walaupun mereka tidak mempunyai bilangan undi yang mencukupi untuk menghalang perjanjian itu, Smotrich dan Ben-Gvir boleh memilih untuk keluar daripada Kerajaan, sekali gus menggugat kestabilan pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Smotrich dilaporkan sedang mengadakan ‘perbincangan hangat’ dengan Netanyahu dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Berdasarkan butiran perjanjian, gencatan senjata ini hanya bersifat sementara dan dijangka berlangsung selama enam minggu.
Kemungkinan untuk perang di Gaza disambung semula selepas tempoh tersebut mungkin menjadi faktor yang dapat mengekalkan sokongan menteri-menteri berhaluan kanan ini terhadap Kerajaan.
Namun, situasi itu menimbulkan persoalan tentang kestabilan politik dalaman Israel serta hala tuju jangka panjang konflik Gaza-Israel. -AGENSI











