ROMPIN: Tujuh sekeluarga di perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Lumpur di Kampung Pantai 4, di sini, gusar kehilangan tempat tinggal apabila sebahagian rumah diduduki mereka sejak lebih 15 tahun lalu roboh akibat hakisan pantai.
Penghuninya, Nur Zakiah Hamdan, 29, berkata, kini dia, suami, dua anak, bapa dan dua adiknya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Jawa di sini sejak Ahad lalu.
“Kami tidak menyangka kejadian air pasang dan hakisan pantai itu menjadi teruk sehingga menjejaskan rumah. Sebelum itu kami sudah diarahkan berpindah lebih awal. Saya sekeluarga ke balai raya sehelai sepinggang kerana sangka hanya mahu tumpang tidur semalaman.
“Malam itu saya ada balik rumah sekejap tetapi keadaan semakin buruk sehingga kami diarah polis untuk keluar dari kawasan rumah. Awal pagi keesokannya, saya sekeluarga pulang ke rumah sekitar pukul. 6.30 pagi dan kami terkejut melihat keadaan rumah kami yang roboh sebahagiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Nur Zakiah, kejadian hakisan pantai itu berlaku sejak 2019 dan keadaan semakin serius sehingga dia dan adiknya mengambil inisiatif membina benteng menggunakan kepingan zink bagi mengelakkan air masuk ke kawasan rumah.
Katanya, mereka sekeluarga tidak mempunyai tempat tinggal selain rumah tersebut yang mempunyai 1,001 kenangan.
Seorang lagi penduduk, Ambok Sidek, 49, berkata, ini kejadian pertama kali dialaminya sejak enam tahun menetap di perumahan terbabit.
“Semasa kejadian saya keluar membeli lauk. Bila balik saya lihat jiran sudah mula mengalihkan kenderaan ke tempat selamat. Saya pun bergegas menyelamatkan barangan penting,” katanya.
Difahamkan dua kampung lain turut mengalami situasi yang sama.-UTUSAN










