JAECOO pencabar baharu pasaran SUV premium di Malaysia - Utusan Malaysia

JAECOO pencabar baharu pasaran SUV premium di Malaysia

JAECOO 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: JAECOO mencatatkan pencapaian cemerlang tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai jenama pencabar baharu dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) premium di negara ini.

Syarikat itu merekodkan kejayaan di pasaran Malaysia dengan pendaftaran 7,041 unit SUV JAECOO J7 dalam tempoh lima bulan pertama, hasil pelaburan dalam rangkaian pengedar, aset gudang alat ganti dan kemudahan pengeluaran.

Susulan kejayaan model J7 dan C9 pada 2024, JAECOO Malaysia berhasrat memperkenalkan lebih banyak model baru pada tahun ini, sejajar misinya menyediakan rangkaian kenderaan mewah yang mampu dimiliki dalam pasaran automotif, bermula dengan JAECOO J7 PHEV pada Februari 2025.

Selain itu, JAECOO juga akan membuat persiapan untuk pelancaran dengan acara pemanduan jarak jauh bulan ini yang akan memaparkan keupayaan JAECOO J7 PHEV merentasi tiga negara, iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand, dengan satu tangki minyak penuh dan sekali cas.

Bagi menghargai pencapaian rangkaian pengedarnya, JAECOO mengiktiraf 12 pengedar cemerlang di majlis anugerah pengedar pertamanya.

Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek berkata, syarikat menghargai kepercayaan yang dipamerkan oleh pelanggan terhadap jenama itu dan bertekad menunaikan janji dengan membawa kenderaan terbaik dalam kelasnya serta pengalaman pemilikan premium.

“Anugerah ini mengiktiraf rangkaian pengedar kami yang memainkan peranan penting dalam pencapaian keseluruhan jenama JAECOO dan kami akan terus meluaskan rangkaian pengedar, selaras dengan cita-cita untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penerima anugerah yang diiktiraf di majlis anugerah itu terdiri daripada pengedar dari Lembah Klang, serta wilayah utara dan selatan.

“Pengedar di wilayah selatan muncul sebagai penyumbang terbesar dengan mencatatkan jumlah jualan tertinggi dalam negara.

“Selain itu, dalam usaha mengenal pasti peluang pertumbuhan selanjutnya, JAECOO akan meluaskan kaedah penilaian untuk mengambil kira skor Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) pada tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Auto Galaksi Sdn Bhd, Datuk Desmond Tien berkata, pencapaian yang diterima mencerminkan kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelanggan dan rakan niaga yang dihargai.

“Kami berterima kasih kepada pengurusan JAECOO atas kepimpinan dan wawasan mereka yang luar biasa, yang memainkan peranan penting dalam merintis kejayaan.

“Setiap ahli tenaga kerja di Auto Galaksi memainkan peranan penting dalam pencapaian ini, dan kami tetap teguh dalam komitmen untuk menetapkan penanda aras baharu dari segi kecemerlangan perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Turut diiktiraf pada majlis anugerah itu termasuk Gagner Auto Sdn. Bhd. , ES Premium Holdings Sdn. Bhd. , Luxury Legend Sdn. Bhd., Siang Hin (K.L) Sdn. Bhd. , Apple Autotech Sdn. Bhd., Kluster Automobile Sdn. Bhd., Carshen Sdn. Bhd., AAW Nexus Sdn. Bhd., BH Premium Auto (M) Sdn. Bhd., Indah Utara Enterprise Sdn. Bhd. dan Tropical Impact Auto Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×