PETALING JAYA:Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai sebanyak RM149.3 bilion pada bulan November 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini merupakan jualan kedua tertinggi yang direkodkan pada tahun 2024, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus, sedikit lebih rendah daripada pertumbuhan 5.5 peratus yang dicatatkan pada bulan Oktober.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan didorong terutamanya oleh subsektor Perdagangan runcit dan Perdagangan borong.
“Perdagangan runcit mendahului dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus kepada RM64.8 bilion, diikuti oleh perdagangan borong yang mencatatkan jualan sebanyak RM66.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 4.7 peratus.
“Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan pertumbuhan positif, berkembang sebanyak 1.4 peratus kepada RM18.3 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir memaklumkan, perdagangan runcit telah menunjukkan ketahanan dengan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat sebanyak 5.5 peratus dan jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat sebanyak 8.2 peratus.
“Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.3 peratus diikuti oleh Jualan runcit makanan, minuman & tembakau sebanyak 6.5 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan borong, Mohd. Uzir menjelaskan prestasi teguh subsektor ini adalah sumbangan ketara daripada pelbagai segmen.
“Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup mencatatkan pertumbuhan signifikan sebanyak 13.7 peratus, disokong oleh harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi, meningkat 35.4 peratus pada bulan November.
“Sementara itu, Jualan borong barangan isi rumah meningkat sebanyak 5.0 peratus, diikuti oleh Jualan borong makanan, minuman & tembakau serta Jualan borong jentera, peralatan & bekalan yang masing-masing berkembang sebanyak 5.2 peratus dan 7.9 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir juga menyatakan, subsektor perdagangan borong terus menjadi tonggak ekonomi, didorong oleh permintaan yang kukuh daripada isi rumah dan perniagaan.
Beliau juga menjelaskan subsektor kenderaan bermotor, yang mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan 1.4 peratus berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam Jualan kenderaan bermotor, yang mengalami pertumbuhan negatif 4.3 peratus.
“Trend yang sama turut dilihat dalam data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang melaporkan penurunan sebanyak -7.8 peratus dalam jumlah unit yang dijual dan dalam data pendaftaran kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, yang menunjukkan penurunan sebanyak -6.6 peratus.
“Prestasi lemah dalam kumpulan jualan kenderaan bermotor pada bulan November boleh dikaitkan dengan pengguna yang menangguhkan pembelian untuk menunggu kemungkinan diskaun atau rebat akhir tahun.
“Sementara itu, kumpulan lain merekodkan pertumbuhan positif, di mana Jualan alat ganti & aksesori kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun.
“Selain itu, kedua-dua penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor serta Jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal mencatatkan peningkatan yang ketara, masing-masing sebanyak 6.3 peratus dan 13.7 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd.Uzir berkata, jualan runcit dalam talian kekal stabil pada bulan November, dengan indeks jualan runcit meningkat sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun, sedikit lebih tinggi berbanding 5.1 peratus pada bulan Oktober.
Jelas beliau, prestasi positif ini mencerminkan minat berterusan pengguna terhadap pembelian dalam talian terutamanya semasa acara jualan utama seperti Single’s Day 11.11, yang meningkatkan aktiviti e-dagang.
“Walau bagaimanapun, selepas pelarasan musim, indeks mencatatkan penurunan bulan ke bulan sebanyak -4.3 peratus. Indeks volum Perdagangan borong & runcit, yang mengambil kira kenaikan dan penurunan harga, meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun.
“Perdagangan borong memacu pertumbuhan ini dengan kenaikan sebanyak 4.7 peratus, diikuti oleh Perdagangan runcit yang mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus.
“Walau bagaimanapun, selepas pelarasan musim, indeks volum mencatatkan penurunan sebanyak -0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN











