Pendidikan menengah wajib

Pendidikan menengah wajib

Fadhlina Sidek bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bergambar bersama pelajar dan ibu bapa selepas penyerahan cek Bantuan Awal Persekolahan di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewajibkan pendidikan mene­ngah bagi meng­angkat dasar dan meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi tujuan itu, satu Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan akan dibentang di Parlimen pada sidang bermula 3 Februari hingga 6 Mac ini.

Katanya, kementerian juga berharap langkah tersebut bo­leh mengatasi masalah yang wujud dalam sistem pendidikan negara termasuk masalah tidak hadir pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Satu lagi inisiatif daripada kementerian adalah untuk meng­angkat dasar pendidikan wajib (bagi) sekolah menengah.

“Jadi kita harap ini adalah langkah-langkah yang dapat di­laksanakan dengan baik bagi mengatasi isu yang berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara. Bagi kita masa sedikit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan sedang menyemak satu draf RUU untuk mewajibkan pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah.

Pada 3 Disember lalu, Fadh­­lina berkata, kementerian sedang berusaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

Buat masa ini, dasar pendidikan wajib menetapkan setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mesti mendaftarkannya di sekolah rendah.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina juga mengingatkan pihak sekolah agar menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid sepenuhnya tanpa melakukan sebarang ‘pemotongan’ tertentu.

Katanya, wang itu mesti digunakan sepenuhnya untuk kegunaan dan persiapan persekolahan murid-murid.

“Jangan dipotong-potong (seperti) yuran Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan sebagainya, itu tidak boleh. Wang RM150 mesti diterima (oleh) ibu bapa (atau) penjaga sebagaimana yang kita umumkan.

“(Sekiranya) ada yang me­langgar, kita minta aduan di­sampaikan kepada kita (Kementerian Pendidikan) untuk siasatan dan tindakan kerana RM150 itu adalah hak anak-anak untuk bantuan persekolahan.

“Malah ibu bapa turut diingatkan menggunakan wang berkenaan untuk tujuan persekolahan anak-anak mereka sahaja,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mem­­peruntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk ba­yaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid.

Pengagihan BAP akan dilakukan bermula hari ini pada murid Tahun 1 hing­ga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, manakala pelajar Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula dilaksanakan mulai 16 Februari.

Sementara itu, bagi pelajar Tingkatan 6 baharu pula penagihan BAP dilaksanakan mulai 1 Julai depan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan 6 tanda komitmen kerajaan dalam memastikan semua murid di negara ini mendapat manfaat yang sama.

“Insya-Allah, kita akan te­ruskan dari tahun ke tahun (ke­rana) melihat memang terdapat keperluan bagi anak-anak Tingkatan 6 mendapatkan BAP juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×