Selesai menghabiskan baki cuti di kampung, Rudy mahu pulang semula ke bandar untuk menyambung tugas. Pada mulanya, dia bercadang bertolak waktu malam, tetapi bila fikir kesesakan yang perlu ditempuhnya, terus dia batalkan niat. Tak sanggup pula rasanya ‘tersangkut’ berjam-jam lama di jalan raya nanti jika menaiki kereta.
Pukul 11 malam dia melangkah keluar dari rumah. Setelah bersalaman dengan ibu bapa dan adik beradik, terus dia hidupkan enjin kereta dan bertolak pulang. Suasana malam itu cukup tenang dan sunyi, rasanya hanya sesekali sahaja dia berselisih dengan kenderaan di laluan kampung tersebut. Maklumlah di kiri kanan jalan hanya dipenuhi ladang sawit dan hutan sahaja.
Hampir setengah jam memandu, tiba-tiba hujan lebat. Sesekali pancaran kilat dan dentuman guruh memecah kesunyian malam. Rudy memandu penuh hati-hati, risau pula jika ada haiwan liar atau ternakan yang melintas nanti.
Rudy perlahankan kenderaan. Sesekali dia mengeluh kecil kerana tidak dapat melihat jelas jalan raya di hadapan.
Sejuk malam mencengkam hingga ke tulang. Suasana persekitaran gelap dan sunyi. Sesekali dia bersiul kecil mengikut irama lagu di radio kenderaan.
Sebaik sahaja melalui satu selekoh berhampiran jambatan menuju ke pekan, tiba-tiba dia tersentak, melalui sorotan cahaya lampu kenderaan dia dapat lihat dengan jelas ada sebuah kereta dipandu perlahan di hadapannya.
Rudy terus kurangkan kelajuan. Kereta sedan merah yang sudah kelihatan uzur itu nampak terhinjut-hinjut perlahan di lorong kanan, lampunya juga nampak malap, malah catnya juga sudah luntur dan ada yang tertanggal.
Rudy langsung tidak ambil pusing. Baginya, itu adalah perkara biasa bagi sebuah kereta lama, tetapi semakin lama berada di belakang kenderaan tersebut dia semakin tertekan. Kereta itu bukan sahaja dipandu perlahan malah ada ketikanya melilau ke tengah dan ke tepi.
Timbul rasa geram di hati Rudy, niatnya ingin memotong kereta tersebut bertukar jadi serba salah bila melihatkan kenderaan itu yang tidak konsisten, seakan tidak memberinya ruang untuk memotong.
Rudy menyinga. Dia menyumpah dalam hati. Dan hampir sekian lama bersabar akhirnya dia tekad memintas juga. Fikirnya apa nak jadi pun jadilah. Dia sudah tidak mampu lagi untuk berada di belakang kereta buruk itu. Sudahlah lembab dan terhegeh-hegeh, kemudian pandu dengan semberono pula.
Setelah melihat ada ruang untuk memotong, Rudy terus menukar gear rendah dan memecut laju …
VROOMMM…
VROOMMM…
VROOMMM…
Berdesup kereta Rudy mencelah di laluan kanan. Dia senyum tanda puas. Sebaik berjaya memotong dia terus mengambil laluan di lorong kiri, sesekali matanya menjeling ke arah cermin sisi di tengah kenderaan untuk melihat ke belakang.
Kelegaannya tidak lama, Dari arah belakang terlihat sepasang lampu tinggi menyuluh keretanya. Sekali lagi Rudy menyinga. Dalam hati dia berfikir pemandu manalah agaknya yang tiada sensitiviti. Rudy tekan pedal minyak memecut, namun kenderaan di belakangnya juga dilihat turut sama laju seakan mengekorinya.
Rudy mengalah. Terus dia perlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada kenderaan tersebut untuk memotong. Dan sebaik sahaja kenderaan tersebut memecut memintasnya, dia tergamam.
Terlopong Rudy seketika. Mana tidaknya, kenderaan yang memintasnya itu adalah kereta merah yang baru dipintasnya tadi. Timbul kemusykilan dalam hatinya apabila memikirkan bagaimana kereta tua yang uzur itu boleh memecut selaju itu.
Dan sekali lagi dia garu kepala. Kereta merah tadi kembali perlahan di lorong kiri. Rudy mula berasa tidak sedap hati, otaknya mula merewang jauh memikirkan perkara yang tidak baik. Adakah perompak atau individu yang ingin berniat jahat terhadapnya? Dia mula berfikir bukan-bukan.
Ketika otaknya ligat berputar mencari jawapan, tiba-tiba kereta di hadapannya berhenti secara tiba-tiba. Rudy lantas menekan brek. Dia hela nafas lega. Nasib baiklah matanya fokus pandang ke hadapan, kalau tidak mahu disondolnya kereta tersebut.
Namun amarah Rudy terbantut apabila melihatkan sinaran lampu merah di tiang lampu isyarat berdekatan bahu jalan. Dia beristighfar dalam hati. Nasib baiklah dia tidak maki hamun pemandu tersebut, rupa-rupanya kereta itu berhenti disebabkan lampu merah.
Rudy pandu perlahan sambil membelok ke lorong kanan. Walaupun lampu merah itu hanya untuk pejalan kaki, namun dia tetap berhati-hati kerana tidak mustahil ada yang ingin menyeberang jalan ketika itu, dan yang lebih merisaukannya kalau dia teruskan perjalanan silap hari bulan ada anggota polis yang menunggu di hadapan.
Sebaik sahaja kenderaannya berada di lorong kanan. Rudy terus menjeling ke arah kereta merah di sebelahnya. Nampak asap putih berkepul-kepul keluar dari corong ekzosnya. Rudy turunkan sedikit tingkap. Ingin juga dia melihat sosok pemandu tersebut.
Dan sebaik sahaja dia menjeling ke arah ruang pemandu di sebelah, tiba-tiba dia tergamam. Serta merta jantungnya berdegup kencang.
Rudy turunkan sedikit tingkap untuk pastikan apa yang dilihatnya ketika itu sahih atau sebaliknya. Namun setelah ditinjau berkali-kali apa yang ada di firasatnya adalah benar belaka.
Jantungnya terus berdegup kencang. Serta merta peluh membasahi tubuhnya. Entah kenapa dia berasa lemah dan longlai. Ketika itu mahu sahaja rasanya dia pecut laju pergi dari situ, namun
kakinya seakan kaku dan tidak mampu untuk menekan pedal minyak.
Mana tidaknya, kereta merah di sebelahnya kosong tanpa pemandu. Puas Rudy tinjau dan gosok mata berkali-kali takut kalau-kalau dia salah pandang, namun apa yang dilihatnya adalah benar dan sahih.
Rudy kumpul kekuatan, mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Setelah lampu isyarat bertukar hijau, dia lantas memecut laju. Kereta merah berhampirannya tadi dilihat masih berhenti dengan enjin yang mengaum kuat. Waktu itu Rudy sudah tidak hiraukan apa yang ada di hadapannya. Dia ingin cepat sampai ke pekan dan menuju ke lebuh raya.
Walaupun kenderaannya sudah jauh meninggalkan kawasan itu, namun sesekali matanya tetap mencuri pandang ke arah cermin pandang belakang. Hatinya masih risau kalau-kalau kereta merah itu muncul sekali lagi di belakangnya.- UTUSAN










