Toyota lancar GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport baharu

Toyota lancar versi 2025 GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport

MAJLIS pelancaran versi 2025 GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport di Sepang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dan menakrif semula landskap segmen kenderaan berprestasi tinggi dengan pelancaran tiga model baharu versi 2025 GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport.

Pelancaran model berkenaan bersempena majlis penutup Toyota Gazoo Racing Musim Ke-7 minggu lalu, bukan sahaja menjadi simbol inovasi, tetapi juga penanda aras baharu dalam komitmen Toyota dalam memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan buat rakyat Malaysia.

Berpegang kepada legasi cemerlang Toyota Gazoo Racing dalam sukan permotoran serta kejuruteraan termaju yang telah terbukti, pengenalan model-model itu menjadi pemangkin keterujaan dan inspirasi dalam kalangan peminat automotif tempatan sejak penampilan di peringkat global pada 2007.

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, Toyota telah menjadi nadi kehidupan rakyat Malaysia selama hampir tujuh dekad, membawa inovasi, kebolehpercayaan dan kegembiraan kepada setiap generasi pemandu.

Kata beliau, bagi Toyota, pemanduan bukan sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi satu pengalaman penuh emosi yang menghubungkan jiwa dengan jalan raya dan menghidupkan rasa gembira dalam setiap perjalanan.

“Dengan pelancaran model GR dan GR Sport, Toyota meneruskan legasinya, mengangkat pengalaman memandu ke tahap luar biasa. Dibangunkan dengan semangat prestasi, model ini direka khas untuk memberi inspirasi dan keterujaan kepada setiap rakyat Malaysia. Pelancaran ini juga memperkukuh komitmen Toyota dalam membawa kegembiraan memandu ke jiwa rakyat Malaysia, memenuhi janji kami untuk sentiasa menggerakkan dunia anda,” katanya dalam kenyataan.

Ketiga-tiga model itu mempersembahkan prestasi unggul dan kejuruteraan terperinci Toyota Gazoo Racing, membawa semangat litar lumba terus ke jalan raya dan membolehkan pemandu merasai adrenalin serta kehebatan teknologi litar perlumbaan.

Di sisi lain, Corolla GR Sport tampil dengan gaya sporty yang berani sambil mengekalkan aspek praktikaliti harian, menyerlahkan lagi keupayaan Toyota dalam menyatukan elemen estetika, prestasi, dan fungsi dengan sempurna untuk menawarkan pengalaman luar biasa kepada generasi pemandu moden.

Melalui gabungan inovasi dan kepakaran, Toyota memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi berprestasi tinggi, tambahan kepada pendekatan Multi-Pathway bagi memastikan semua mendapat manfaat terbaik.

GR Yaris 2025 adalah bukti cemerlang kejuruteraan Toyota Gazoo Racing, sebuah kereta kompak yang menggabungkan prestasi litar rali dengan praktikaliti di jalan raya. Dipacu enjin pengecas turbo G16E-GTS 1.6-liter yang ikonik, nadi utama jentera ini mampu menghasilkan 300PS dan 400Nm tork, menjadikan setiap pemanduan penuh adrenalin. Dipadankan transmisi manual 6-kelajuan tradisional dan digabungkan dengan sistem GR-Four AWD yang diinspirasikan oleh perlumbaan rali serta legasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), ia ternyata memberikan kawalan maksimum kepada pemandu.

GR Yaris 2025 tersedia dalam empat pilihan warna menarik, termasuk warna baharu Precious Metal, bermula pada harga RM315,600.

GR Corolla 2025 pula dikuasakan enjin G16E-GTS 1.6L-T pengecas turbo 3- silinder termaju yang menghambur kuasa 300PS dan tork 400Nm—mencipta penanda aras baharu dalam kategori hot hatch berprestasi tinggi. Gabungan sempurna antara kuasa, kecekapan, dan kejuruteraan kompak ini menonjolkan kehebatan teknologi moden Toyota. Dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan eksklusif, GR Corolla menjanjikan pengalaman kawalan pemanduan sepenuhnya, memberikan keseronokan maksimum kepada peminat automotif sejati.

GR Corolla 2025 adalah manifestasi komitmen Toyota terhadap reka bentuk progresif dan inovasi kejuruteraan. Dengan harga bermula dari RM367,000, hot hatch berprestasi tinggi ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang melangkaui batas, membawa prestasi dan gaya  ke tahap baharu.

Bagi pemandu yang mahukan gabungan reka bentuk sporty dan praktikaliti harian, Corolla GR Sport 2025 adalah pilihan yang sempurna. Model ini menggabungkan luaran dinamik serta kebolehpercayaan yang menjadi ciri ikonik Toyota. Dilengkapi enjin 1.8-liter yang digandingkan dengan transmisi Sport Sequential Shiftmatic CVT 10-kelajuan, jentera ini menawarkan pecutan lancar, peralihan gear yang lebih pantas, dan mod manual interaktif untuk pengalaman pemanduan yang lebih bertenaga.

Corolla GR Sport 2025 yang ditawarkan pada harga RM149,800, tersedia dalam pilihan warna dua tona yang menarik, termasuk Platinum White Pearl Mica, Red Mica Metallic dan Attitude Black Mica dengan bumbung hitam menjadikannya bukan sahaja sebuah kereta yang selamat tetapi juga simbol gaya dan prestasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×