Rangka

Rangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG hanya duduk termenung di atas tangga pasar. Suasana tatkala itu hanya riuh dengan suara pembeli dan penjual. Bunyi tapak kaki keluar masuk ke dalam pasar juga langsung tidak diendahkan oleh Awang. Kesemua bunyi bising itu langsung tidak menarik perhatian Awang yang sedang berteleku seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Awang, mengapa termenung di atas tangga? Kenapa gerai bawang kau ditinggalkan begitu sahaja?” Soal Mail yang berniaga ikan di pasar tersebut.

Awang tidak menjawab. Dia masih termenung seperti sedang memikirkan sesuatu. Beberapa kali dia mengengsot ke tepi tangga agar tidak dirempuh oleh para pengunjung di pasar itu. Sesekali matanya mengitari seluruh pasar tempat dia berniaga. Pasar tempat dia mencari rezeki. Pasar itulah nadi kepada kehidupan ayahnya yang kini semakin uzur di rumah.

Seingat Awang, dia sudah lama berniaga di pasar itu. Pasar yang dahulunya diperbuat daripada kayu mengikut zaman peralihan apabila ditukar pula kepada bangunan berbatu-bata.

Jika dahulu, di pasar itu hanya ada satu bangunan yang menempatkan bahagian barangan basah dan kering tetapi sekarang sudah berubah wajah. Di tingkat bawah bangunan pasar itu tempat barangan basah dijual manakala di bahagian atasnya pula tempat menjual barangan kering seperti barang dapur dan keperluan lain.

Biarpun bangunan itu sudah berubah wajah, tetapi Awang tetap seperti dahulu. Hanya berubah umur dari muda sudah semakin tua.

“Awang, mana bawang kecil yang aku pesan tadi? Kau sudah kenapa duduk macam batu di atas tangga?” Tegur seorang perempuan yang mesra dipanggil Minah.

Awang hanya mendongak melihat ke arah Minah dengan wajah keliru. Minah tersentak. Minah tidak jadi mengajukan kembali persoalan kepada Awang.

Entah apa jembalang yang merasuk Awang, sampai berubah wajahnya? Soal Minah di dalam hati sambil berlalu pergi.

Mulut Minah becok sahaja tatkala melalui gerai Mail. Mail menggaru-garu kepala yang tidak gatal apabila melihat Minah bercekak pinggang di hadapan kedainya.
“Apa hal Minah? Riuh saja bunyinya?” Soal Mail.

“Awang. Agaknya sudah gila,” ujar Minah selamba.

Gila? Getus Mail keliru. Sebentar tadi dia terserempak dengan Awang. Tetapi Awang masih lagi nampak normal. Awang tidak gila. Barangkali tentu ada sesuatu yang sedang difikirkan oleh

Awang. Mail dan Awang sudah berkawan sejak kecil lagi. Mail lebih mengenali Awang daripada Minah. Mail lebih memahami Awang daripada sesiapa sahaja di kampung itu.

Lewat petang usai habis membersihkan kedai ikannya, Mail berhasrat menjenguk ayah Awang yang telah terlantar sakit sejak dua tahun lalu. Dalam pertemuan itu nanti, Mail akan cuba bertanyakan kepada Awang apa yang sedang difikirkan oleh rakan baiknya itu.

Mail segera menghampiri motosikal yang terletak di bahu jalan di hadapan pasar dan terus pulang ke rumah. Mail harus menyalin pakaian dan menghilangkan bau hanyir sementelah seharian bekerja di pasar.

Kira-kira pukul enam petang, Mail tiba di rumah Awang. Mail mematikan enjin motosikalnya sambil meninjau-ninjau kawasan di sekeliling.

Pintu rumah Awang terbuka luas, namun apabila Awang memijak tangga tidak ada kelibat sesiapa pun di situ. Mail berasa curiga. Mail mula memanggil-manggil nama Awang dan beberapa saat kemudian panggilan Mail itu disahut sayup-sayup dari arah dapur rumah Awang.

“Aku di sini! sedang memandikan ayah. Kau naiklah Mail.” Sahut Awang.

Mail terus naik ke rumah Awang dan berjalan ke arah dapur. Di situ, Mail melihat Awang sedang mendukung ayahnya masuk ke bilik yang terletak di bahagian dapur. Kemudian, Awang memberi isyarat supaya Mail terus menunggu dia di atas.

Selang beberapa minit, Awang muncul dengan baju yang sedikit basah. Mail hanya diam sambil memerhatikan kawasan dari luar rumah itu melalui jendela yang terbuka.

“Ada apa kau cari aku Mail?” Soal Awang sambil melabuhkan punggungnya di tepi dinding.

“Kata Minah kau sudah gila, betulkah?” Soal Mail.

Soalan sepandir itu tidak pula dijawab oleh Awang. Dia hanya tersengih hingga menampakkan barisan giginya yang sedikit kehitaman. Minah memang begitu selalu bersangka buruk kepada sesiapa sahaja di pasar. Jika Minah ada di situ sudah pasti mulut Minah itu disumbatnya dengan cili padi. Baru dia rasa agaknya.

“Kenapa dalam beberapa hari ini, aku nampak kau banyak termenung? Apa yang kau fikirkan, Awang?” Soal Mail berterus terang.

Awang hanya melemparkan pandangannya kosong jauh ke luar jendela. Beberapa kepul asap dari api rokok daunnya itu berterbangan di udara hingga membentuk pelbagai gambaran yang bercelaru seperti mana fikirannya kini.

Lantas Awang teringat kembali pertemuannya dengan Karto, rakan lamanya yang kini bekerja dengan seorang taukeh besar dari bandar.

“Ikut aku kalau kau mahu cari duit lebih. Berapa sangatlah kau berniaga bawang di pasar sedangkan kau memerlukan wang untuk pembedahan ayah kau.” Kata Karto kepada Mail.

“Tauke aku mememang memerlukan pekerja untuk membantu kami di pelabuhan. Kerja kau hanya memunggah barang-barang untuk dinaikkan ke atas lori. Tempat dan makan taukeh ada sediakan. Jadi, janganlah kau bimbang keadaan kau di sana nanti. Lagipun gaji yang ditawarkan cukup lumayan.” Ujar Karto.

Kening Awang berkerut. Hasil pendapatannya hanya cukup-cukup makan sahaja. Untuk mengumpul wang pembedahan ayahnya juga tidak cukup apatah lagi untuk membawa ayahnya berjumpa dengan doktor. Kini, wajah tua ayahnya tertampang di depan matanya. Kesakitan dan penderitaan ayahnya yang semakin melarat itu benar-benar menghimpit perasaannya.

“Siapa yang akan jaga ayah aku jika aku tidak ada nanti?” Terpacul kata-kata Awang sehingga menyebabkan Karto tersentak.

“Kau boleh upah orang. Kau di pelabuhan tidak lama, setahun sahaja. Jika kau sudah dapat tempat tinggal di sana nanti kau boleh sahaja bawa ayah kau bersama-sama.”

Wajah Awang menampakkan sedikit keceriaan. Awang akan membayar wang penjagaan ayahnya kepada Samad iaitu bujang tua yang tinggal seorang diri di sebelah rumahnya.

Samad hanya bekerja kampung untuk menyara hidupnya. Meskipun Samad tidak berapa sihat tetapi itu tidak mendatangkan masalah kepada Samad untuk menguruskan ayahnya.

Samad mengidap asma yang agak kronik namun penyakitnya itu hanya datang sekali sekala sahaja. Awang juga percaya penduduk kampung akan sentiasa peka dengan keadaan ayahnya yang ditinggalkan nanti. Meskipun rumahnya agak jauh terpencil daripada rumah penduduk kampung yang lainnya tetapi dia dapat merasakan penduduk kampungnya itu pasti akan menjenguk keadaan ayahnya juga.

Jika bukan Samad atau penduduk kampung, dia lebih yakin bahawa rakan baiknya Mail akan sentiasa meninjau keadaan ayahnya di rumah. Itulah harapannya. Dan disebabkan itulah dia bersetuju untuk mengikut Karto bekerja di pelabuhan dan meninggalkan ayahnya.

“Awang!,” panggil Mail menyebabkan Awang tersentak daripada lamunan.

“Aku akan pergi mengikut Karto bekerja di pelabuhan.” Kata Awang secara tiba-tiba.

Terbeliak mata Mail apabila mendengar kata-kata Awang itu. Dia sudah lama tahu yang Karto ingin mencari orang yang sanggup bekerja di pelabuhan. Dia turut menjanjikan gaji yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengikut dia bekerja.

“Tentang ayah aku janganlah kau bimbang, aku sudah mencari orang untuk menguruskan ayah di sini. Samad di sebelah rumahku sudah berjanji untuk menguruskan ayahku. Jadi, aku sudah nekad untuk mengikut Karto bekerja di pelabuhan untuk mengumpul wang pembedahan ayahku.” Terang Awang seperti mengetahui pertanyaan selanjutnya daripada Mail.

Mail hanya diam. Apalah gunanya menasihati rakannya yang sudah bulat tekad. Jika Mail menghalangnya sekalipun, Awang akan tetap pergi juga. Pertemuan pada petang itu merupakan pertemuan terakhir antara Mail dan Awang. Selepas itu, Mail langsung tidak berjumpa lagi dengan Awang.

Kini, sudah lima bulan Awang pergi meninggalkan ayahnya. Mail ada juga menziarahi ayah Awang apabila dia tidak sibuk di pasar. Keadaan ayah Awang yang diuruskan oleh Samad dilihat agak baik. Samad menguruskan ayah Awang dengan wang yang dikirimkan oleh Awang. Mail berasa sedikit lega apabila melihat keadaan yang terurus itu.

Suatu hari Mail telah dihubungi oleh seorang rakannya yang tinggal di bandar. Rakannya itu telah meminta bantuan Mail untuk menguruskan gerai ikan yang baru dibuka di pasar tersebut.

Disebabkan tiada pengalaman dan dia sedang mencari pekerja baharu, maka Mail bersetuju untuk membantu rakannya.

“Biyah, kawan abang di bandar meminta abang menguruskan gerai ikannya di pasar. Abang hanya pergi dalam dua bulan sahaja apabila dia telah mendapat pekerja yang boleh menguruskan

kedainya nanti, abang akan pulang. Buat sementara waktu, gerai ikan di pasar itu abang minta Biyah uruskan. Bolehkah Biyah?” Tanya Mail kepada isterinya.
Biyah hanya menganggukkan kepala berulang kali. Dia sangat memahami suaminya yang sering membantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan. Biyah juga cekap berniaga kerana dia dulu pernah berniaga di pasar tersebut. Akhirnya Mail pergi juga ke bandar tanpa sempat memberitahu ketiadaannya kepada Samad dan ayah Awang.

Kira-kira sebulan setengah dia tinggal di bandar tanpa mendapat sebarang perkhabaran tentang ayah Awang dan Awang, namun pada suatu pagi ketika dia sedang berehat-rehat di rumah sewanya di bandar dia didatangi rakannya yang memberitahu bahawa Awang telah ditangkap oleh pihak polis. Pelabuhan tempat kerja Awang rupa-rupanya ada kaitan dengan sindiket penyeludupan barang-barang haram. Menurut rakannya lagi, Awang sudah hampir dua bulan berada di penjara.

Berdebar jantung Mail apabila mendengar perkhabaran tersebut. Serta-merta dia teringat tentang ayah Awang di kampung. Tanpa berlengah, Mail terus menaiki bas untuk pulang ke kampung pada hari itu juga.

Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, hati Mail tidak keruan. Otaknya ligat memikirkan keadaan ayah Awang.

Biyah isterinya tidak pula memberitahu apa-apa berita dari kampung. Kata Biyah, jika berlaku apa-apa kematian dan kecemasan pasti orang kampung akan heboh memperkatakannya. Tatkala mendengar kata-kata Biyah itu, hatinya kembali tenang. Dia berharap agar tidak akan berlaku apa-apa kepada ayah Awang.

Mail juga akan memberitahu tentang penangkapan Awang kepada isterinya nanti. Yang lebih penting, selepas ini dia akan mengambil alih tugas Awang untuk menjaga ayah Awang tanpa memberitahu keadaan sebenarnya.

Sesampai di hadapan rumah Samad, kelihatan semua tingkap dan pintu berkunci. Barangkali Samad berada di rumah ayah Awang? Bisiknya di dalam hati.

Mail terhidu bau busuk dari arah rumah ayah Awang, namun Mail hanya menganggap bahawa bau busuk itu datangnya dari arah semak-samun di tepi rumah tersebut. Pintu dan tingkap rumah ayah Awang juga tertutup rapat. Tidak ada tanda-tanda Samad berada di situ. Mail mula berasa curiga. Bau busuk semakin menerjah hidung Mail ketika Mail membuka pintu depan rumah ayah

Awang. Dengan hati-hati Mail melangkah masuk ke dalam rumah itu. Dia menguak sebuah jendela di tepi dapur. Bau busuk semakin kuat dari arah bilik ayah Awang.

Melalui samar-samar cahaya jendela itu dia terlihat sesuatu. Mail tergamam. Dua jasad yang hanya tinggal rangka berada di atas kerusi dan di atas katil dengan dipenuhi oleh ulat-ulat sampah di merata tempat. Hanya sebulan setengah sahaja dia meninggalkan mereka di situ dan kini, kepulangan Mail hanya disambut dengan dua rangka semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×