IPOH: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu kad memori pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta jenis Perodua Ativa dipandu Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak pernah diakses empat hari selepas kejadian perlanggaran berlaku pada 15 Disember 2023.
Bagaimanapun, pegawai penyiasat, Asisten Superintenden S. Dasarathan, 48, tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Rampasan terhadap kad memori dashcam berkenaan dibuat pada 20 Disember 2023.
Menurut Dasarathan yang juga saksi ke-33, berdasarkan laporan analisis forensik oleh Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris ke atas kad memori dashcam kereta itu menunjukkan terdapat rakaman di antara 4 November hingga 19 Disember 2002.
Analisa forensik turut mendapati rakaman terdapat pada kad memori itu juga telah diakses pada 19 Disember 2023 manakala sebanyak 130 fail video dikeluarkan daripada kad memori terbabit membabitkan tempoh sama.
“Semakan awal saya dan pihak forensik mendapati tiada sebarang rakaman berkaitan kejadian itu. Rakaman adalah setakat 19 Disember 2022 dan dari 20 Disember 2022 hingga 15 Disember 2023, tiada rakaman direkodkan dan ini disahkan dengan keterangan menunjukkan dashcam kereta telah dialihkan semasa pemasangan tint pada kereta tersebut sebelum ini,” katanya.
Dasarathan mengambil alih siasatan kejadian perlanggaran itu daripada Asisten Superintenden Chua Sze Yuan pada 18 Disember 2023 yang mana siasatan kes itu awalnya dibuka melalui laporan trafik oleh Inspektor Jong Pit Chao daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, bagaimanapun katanya, kedua-dua pegawai penyiasat itu masih berada dalam pasukan task force bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Saya menerima satu set dashcam dan kad memori jenis Sandisk daripada Inspektor Jong yang membuat rampasan pada 20 Disember 2023 selepas menjumpainya di dalam laci dashboard Perodua Ativa.
“Pemeriksaan awal pada dashcam dan kad memori tersebut mendapati tiada rakaman dibuat atau wujud pada 15 Disember 2023, bagaimanapun, pemeriksaan awal saya itu tidak konklusif dan memerlukan analisa lanjut forensik,” katanya. – UTUSAN








