Bangkit jadi wanita ramping, usahawan berjaya

Bangkit jadi wanita ramping, usahawan berjaya

PETALING JAYA, 06 JANUARI 2025 - Sesi fotografi bersama Pengasas EzyOrange, Aysha Alam di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., Quattro West di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; INTAN SUHANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika bersua di studio penggambaran baru-baru ini, Nur Aishah Md. Nur Alam nampak sedikit berisi kerana sarat mengandungkan anak keduanya.

Begitupun, masih jauh beza jika dibandingkan dengan penampilannya dahulu ketika mempunyai berat badan 200 kilogram.

Wanita tinggi lampai ini tampil cantik dalam persalinan rona merah jambu beserta solekan tipis.

Seri ibu mengandung jelas terpancar di wajahnya yang bujur sirih.

Beliau juga tidak henti-henti melemparkan senyuman manis sepanjang berbual.

Siapa sangka, selepas berbakul-bakul hinaan dan cacian diterima gara-gara berbadan gempal, wanita berketinggian 170 sentimeter ini akhirnya membuktikan dirinya mampu memiliki tubuh idaman persis model.

“Andai boleh diputarkan waktu, saya tidak ingin berada di situasi ketika gemuk dahulu kerana body shaming yang diterima membuatkan saya trauma.

“Ke mana-mana sahaja pergi, orang melihat dan mula berbisik-bisik. Budak-budak kecil pun takut tengok badan saya yang besar. Ada juga yang datang picit-picit lemak saya.

“Bila masuk kedai kasut, saya dihalau sambil mengatakan tiada saiz untuk saya gara-gara berat badan,” katanya mengimbau memori pahit itu.

Tohmahan dan layanan sebegitu bukan sahaja memusnahkan keyakinan diri, bahkan ‘membunuh’ jiwa Nur Aishah sebagai seorang wanita.

DEMI ZURIAT
Sebab itu, beliau tekad untuk berubah dengan mula menjaga makan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ketika ditebak melakukan pembedahan bariatrik, Nur Aishah menafikan menggunakan jalan pintas tersebut.

Sebaliknya, wanita berusia 33 tahun ini bergelut selama dua tahun menahan segala nafsu makan demi menurunkan berat badan.

“Saya tinggalkan terus makanan dan minuman manis dan jaga pemakanan. Enam bulan pertama saya berhenti ambil gula dan hanya minum air buah.

“Saya juga mengamalkan produk minuman diformulasikan oleh rakan yang merupakan seorang doktor selepas dia melihat saya sering termengah-mengah tidak larat berjalan.

“Dengar macam mustahil, tetapi saya nampak hasil daripada 200 kg ke 65 kg dalam masa dua tahun. Orang yang pernah rasa kena body shaming akan faham bagaimana tekadnya seseorang itu hendak berubah,” kongsinya.

Namun, semua itu bukanlah dilakukan semata-mata untuk menutup mulut orang tetapi lebih kepada menjaga kesihatan dirinya dan sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat.

Berbadan besar sejak kecil menyukarkan Nur Aishah untuk memiliki zuriat meskipun sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Shaaidun Zin.

“Saya berbadan besar sejak usia belasan tahun dan dalam masa sama menghidap masalah ketumbuhan (cyst).

“Disebabkan cyst itu juga badan saya naik mendadak seperti dipam kerana ia menganggu hormon,” katanya.

Selepas setahun menguruskan badan, beliau dan suami diberi perkhabaran gembira dengan kewujudan malaikat kecil dalam rahimnya pada 2022.

Kini, beliau hanya membilang hari untuk menimang cahaya mata kedua yang akan memeriahkan lagi keluarganya.

FIKIRKAN KESIHATAN
Anak keempat daripada dua beradik ini juga mengambil keputusan untuk menjalani gaya hidup lebih sihat demi kesihatan yang lebih terjamin.

Nur Aishah disahkan mengalami kencing manis diusia semuda 24 tahun, lantas bagaikan tertampar dengan realiti tersebut.

Beliau mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri yang tubuh besar menyukarkan kehidupan sehariannya.

“Semasa berbadan besar saya sangat tidak aktif, hendak berjalan pun susah. Ada masanya saya tidak muat hendak melepasi pintu.

“Masak pun terpaksa duduk di atas kerusi. Itu belum lagi jika makan di kedai sampai patah kerusi yang saya duduk.

“Jika naik kapal terbang pula saya terpaksa duduk menyenget sedikit sehingga sampai ke destinasi kerana jika tidak, paha akan terkena penumpang di sebelah,” katanya tertawa kecil.

 

SUAMI PENDAMPING SETIA
Nur Aishah mengakui, episod gelap dalam kehidupannya itu berjaya ditempuhi dengan kehadiran seorang lelaki yang sangat ikhlas terhadap dirinya.

Selain keluarga, suami juga antara sosok yang menjadi penguat semangatnya untuk berubah.

Lelaki itu tidak pernah merungut mengenai saiz badan, namun Nur Aisha tahu suami sangat prihatin dengan kesihatannya.

“Dia tidak pernah menegur atau bercakap mengenai saiz badan saya. Dia terima saya seadanya.

“Malah, ketika berbadan besar, saya tidak larat berjalan dan banyak duduk. Apa sahaja yang saya mahukan, suami buat sahaja tanpa merungut,” kata wanita kelahiran Kajang, Selangor ini.

Bagi Shaaidun pula, isteri adalah segala-galanya bagi dirinya biar apa jua saiz badan.

“Kami sudah kenal sejak sekolah lagi dan saya sayang dia seadanya. Saya tidak pernah bercakap mengenai saiz badannya kerana tahu dia sudah cukup tertekan dengan penerimaan masyarakat di luar.

“Jadi, di rumah biarlah dia tenang dan selesa tanpa perlu ada perbincangan mengenai saiz badan dan sebagainya,” katanya yang setia menemani isterinya di studio baru-baru ini.

DARI TEPI JALAN KE JENAMA SENDIRI
Tuah tidak henti-henti datang menyapanya ketika ini.

Asbab produk minuman yang diformulasi bersama rakannya berjaya memberi kesan memberangsangkan, Nur Aishah menjadikannya sebagai sebuah perniagaan.

Nur Aishah yang juga Pengasas Aysha Alam Empire menjenamakan produk minuman itu sebagai Ezy Orange yang diasaskan daripada tumbuh-tumbuhan.

“Kalau diingat semula boleh menangis. Dulu saya jual barang orang di tepi-tepi jalan dan ada satu masa hidup kami suami isteri sangat susah hingga terpaksa menyewa rumah di dalam hutan.

“Sekarang ini kami sudah ada perniagaan sendiri. Hasil perniagaan ini kami mampu beri sumbangan kepada Gaza dan bayar zakat masing-masing sebanyak RM100,000 tahun lepas.

“Dulu kami penerima zakat dan kini setelah berjaya mengubah nasib kami akan salurkan semula zakat supaya dapat membantu orang lain pula,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×