Sekali pandang, nampak macam ruang pameran untuk rekaan hiasan dalaman. Namun, inilah ‘syurga’ Norsyahirah Nazry, 30, dan keluarganya berteduh.
Ringkas sekalinya konsepnya, bertepatan dengan tema yang dipilih iaitu minimalis.
Susun atur yang minimal memberi efek lapang dan tenang pada kediaman jenis pangsapuri seluas 850 kaki persegi ini.
Norsyahirah bijak menggayakan ruang yang terhad dengan dekorasi dan susun atur sederhana tanpa perlu mengorbankan sisi estetik pada satu-satu ruangan.
Katanya, konsep yang melatari keseluruhan ruang adalah moden minimalis.
“Rumah ini adalah Rumah Mampu Biaya Johor yang dimiliki ketika hamil anak pertama.
“Saya memilih konsep minimalis kerana mahukan rumah yang mudah dikemas serta luas dan lapang.
“Bagi saya, rumah yang mempunyai barang minimal dapat mengurangkan masa untuk mengemas dan masa selebihnya dapat diisi dengan aktiviti bersama keluarga,” katanya kepada Seri.

Tiga rona warna
Elemen penting dalam menaikkan tema ini adalah warna perabot, langsir dan cat dinding.
Kata Syahirah, pilihan warna yang tidak lebih daripada tiga dapat menaikkan konsep minimalis dan memberi ketenangan dalam rumah.
Justeru, dia hanya menggunakan padanan rona lembut seperti kelabu, putih dan coklat.
Selain itu, elemen pencahayaan juga memainkan peranan yang penting agar rumah tampak menarik dan moden.

“Dekorasi konsep minimalis tidak mengambil masa panjang kerana hanya perlu diatur mengikut barang keperluan sahaja.
“Jika barang minimal, kuranglah kerja-kerja untuk mengemas dan pemilik tidak penat. Apabila kurang penat, kesihatan mental dan emosi pun turut terjaga.
“Konsep minimalis juga mengajar kita untuk sentiasa membeli barang mengikut keperluan dan berjimat-cermat kerana sentuhan sedikit aksesori pun boleh menaikkan seri rumah,” katanya yang juga aktif berkongsi idea dekorasi di Instagram h.rentt.
Paling penting, konsep moden minimalis amat mudah diuruskan kerana kurang keperluan untuk mengemas.
Apatah lagi kebanyakan ruang kelihatan lapang, maka potensi untuk nampak ‘padat’ atau ‘sesak’ turut berkurang.










