PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang 2024 apabila merekodkan kutipan RM65.57 bilion, merupakan yang tertinggi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, perolehan hasil tersebut bukan sahaja melebihi unjuran ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) iaitu RM56 bilion tetapi juga mengatasi sasaran yang disemak semula sebanyak RM61.17 bilion.
Katanya, MOF melaksanakan unjuran kutipan semakan semula berdasarkan rekod Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan pada 18 Oktober lalu susulan kejayaan JKDM berjaya melepasi unjuran hasil ditetapkan kerajaan pada awal tahun.
Menurutnya, kutipan keseluruhan yang diperoleh sehingga 31 Disember lalu adalah bersamaan dengan 117.08 peratus daripada unjuran pada awal tahun.
KENAIKAN
“Pada tahun sebelumnya, JKDM mencatatkan kutipan sebanyak RM55.17 bilion dan merekodkan pertambahan RM10.4 bilion atau bersamaan kenaikan sebanyak 18.85 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengenai sasaran tahun ini pula, Anis Rizana berkata, pihak MOF menetapkan sebanyak RM67.25 bilion dan diyakini mampu dicapai berikutan pelbagai penambahbaikan dilaksanakan JKDM melalui usaha transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau memberi contoh, penempatan sejumlah 40 unit mesin pengimbas baharu dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di 24 lokasi di seluruh negara berjaya mengatasi ketirisan apabila mampu mengenal pasti barangan diimbas dalam masa kurang 30 saat dengan ketepatan 100 peratus.
Katanya, seramai 30 pegawai Kastam juga dihantar mengikuti latihan khas dinamakan sebagai Neuro-Linguistic Programming (NLP) dalam usaha mengesan tingkah laku mencurigakan terutama bagi menangani kegiatan penyeludupan.
Anis Rizana berkata, kepakaran khas itu membolehkan bahasa gerak badan dan riak wajah suspek dapat ‘dibaca’ jika mereka terlibat dalam kegiatan jenayah ketika di pintu masuk utama negara.
Mengenai rampasan 4,433 kilogram dadah bernilai RM152.6 juta tahun lalu, Anis Rizana berkata, modus operandi penjenayah kini berubah dengan penggunaan kurier berbanding mengeksploitasi orang tengah. – UTUSAN










