JOHOR BAHRU: Kemampanan kewangan di semua institusi pengajian tinggi dan penambahbaikan infrastruktur, digital dan kesejahteraan kampus menjadi dua fokus baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dua fokus itu merupakan antara tujuh fokus utama yang menjadi hala tuju KPT selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035.
“KPT menggariskan tujuh fokus utama iaitu lanjutan daripada lima fokus pada tahun lalu dan kali ini tambah lagi dua.
“Lima fokus tahun lalu itu ialah Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi serta Governan dan Kepemimpinan.
“Penambahan dua fokus baharu pula adalah Kemampanan Kewangan IPT dan Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus,” katanya selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim.
Zambry berkata, 10 agenda transformasi pendidikan tinggi yang menjadi tunjang utama ialah kajian semula kenaikan pangkat KPT, kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, kebebasan bersuara di universiti (Akta 605), mengkaji semula Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555) dan pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.
“Lima yang lain ialah mewujudkan Unit Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) di setiap IPT, mengkaji beban kerja ahli akademik, mengkaji IPT diletakkan di bawah kerajaan negeri, menstruktur semula pejabat Education Malaysia (EM) dan pemusatan kemasukan antarabangsa.
Katanya, KPT kini dalam usaha membangunkan sistem untuk kemasukan pelajar antarabangsa sebagai langkah pemusatan kemasukan kumpulan berkenaan.
“Sistem ini adalah bagi memastikan kelayakan serta sijil yang dihantar menerusi permohonan pelajar antarabangsa adalah sahih dan setaraf dengan kelayakan untuk memasuki ke institusi pengajian tinggi di negara ini,” katanya. – UTUSAN










