Budak 8 tahun hilang di hutan ditemukan selamat

Budak 8 tahun hilang di hutan ditemukan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARARE: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang hilang selama lima hari di kawasan hutan simpan di utara Zimbabwe yang menjadi habitat binatang buas ditemui selamat selepas bertahan dengan memakan buah liar dan menggali air menggunakan kayu.

Menurut laporan The Metro, Tinotenda Pundu dilaporkan tersesat selepas keluar dari kampungnya pada 27 Disember lalu.

Dia dijumpai dalam keadaan lemah dan kekeringan di kawasan Taman Negara Matusadona, kira-kira 50 kilometer dari kampung asalnya.

Tinotenda menggunakan kemahiran yang dipelajari di kawasan sering dilanda kemarau itu dengan menggali air di tebing sungai menggunakan kayu serta memakan buah liar yang dikenali sebagai tsvanzva.

Ahli Parlimen setempat, P. Mutsa Murombedzi, menyifatkan pengalaman kanak-kanak itu sebagai sangat luar biasa dan memuji keupayaannya untuk bertahan hidup di kawasan yang dipenuhi dengan singa dan gajah.

“Dia tersesat dan tanpa sedar memasuki kawasan Taman Negara Matusadona yang penuh bahaya. Selepas lima hari yang mencabar di kawasan berhampiran Sungai Hogwe yang mengalir ke Sungai Ume, Tinotenda ditemui selamat oleh renjer Matusadona Africa Parks.

“Keupayaannya untuk bertahan hidup di kawasan berbahaya dengan singa mengaum, gajah melintas, tidur di atas batu, dan makan buah liar adalah sesuatu yang luar biasa untuk kanak-kanak berusia lapan tahun,” kata beliau di media sosial.

Taman Negara Matusadona mempunyai populasi singa yang tinggi, pernah diiktiraf sebagai antara kawasan dengan kepadatan singa tertinggi di Afrika, menurut laporan African Parks.

Murombedzi turut merakamkan penghargaan kepada renjer taman yang berani serta komuniti Nyaminyami yang memainkan peranan penting dalam pencarian itu dengan memukul gendang setiap malam untuk membantu Tinotenda mendapatkan arah pulang.

“Kami sangat bersyukur kepada Tuhan kerana melindungi Tinotenda serta kepada semua pihak yang tidak berputus asa dalam pencarian ini. Kisah ini membuktikan kekuatan doa, harapan, perpaduan, dan usaha tanpa henti,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×