PONTIAN: Agensi berkenaan perlu segera membina jeti baharu di Pengkalan Nelayan Penghulu, Serkat, di sini bagi menjamin keselamatan nelayan dan orang awam yang melaluinya setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, ini memandangkan ada bahagian jeti tersebut yang telah runtuh dan bimbang akan berlaku di bahagian lain.
Katanya, peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Seri Sallahudin Ayub ketika melawat kawasan tersebut pada tahun 2018.
Bagaimanapun katanya, oleh kerana terlalu lama projek tersebut tertangguh, kos pembinaanya meningkat kepada RM1.4 juta dan penyelia bagi projek tersebut ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Semasa perkara tersebut dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JPTD ) Pontian , ia dalam peringkat akhir penyediaan reka bentuk jambatan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bakul Kasih Johor di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas, di sini semalam.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan komuniti nelayan di Pangkalan Penghulu, Serkat, mengakui kecewa apabila permohonan mereka mendapat sebuah jeti baharu belum tercapai walaupun sudah menanti sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Bendahari Pakatan Nelayan Pangkalan Penghulu, Zaini Ali, jeti sedia ada telah rosak dan lebih 100 nelayan di pangkalan tersebut amat berharap jeti baharu dapat dibina tahun ini demi kemudahan dan keselamatan mereka membawa hasil tangkapan. – UTUSAN











