BENAK sedarnya aktif. Diam tak diam, tahun ini merupakan tahun kesepuluh dia menguliti kehidupan tanpa seorang wanita bergelar isteri. Hafizuddin atau Hafiz sedar, betapa dalam kepesatan teknologi digital yang menginspirasikan umat di seluruh jagat raya, dia tidak terkecuali.
Hafiz sedar, keceriaan sejati kini sudah tiada. Contoh yang pantas menanggapi dirinya susulan isterinya dipanggil menghadap Ilahi ialah pengalaman bergambar.
Meskipun contoh ini remeh, namun mudah dilihat daripada sudut pandang massa terhadap peranti teknologi. Hafiz sedar, detik keceriaan itu mulai lenyap dan senyap.
Petang hari minggu, dalam cuaca yang berentetan antara hujan, redup dan panas itu, Hafiz seronok mengarang ceritera kehidupan. Dia tahu keseronokan itu bukan sesuatu yang laghah.
Memang dia berusaha meladeni nasib malang dirinya. Dengan persepsi itulah dia menyantuni dirinya, memindahkan segala kegusaran kepada hobi mengarang. Di situ, ada terapi minda dan jiwa buat Hafiz.
‘Aku terasa aku berhelah. Aku sebenarnya mahu menutup kekuranganku supaya tidak dilihat pincang kerana hidup bersendirian. Kalau boleh aku tidak mahu terkesan menempuh mehnah dalam melayari laut kehidupan,’ bisik hati Hafiz.
Petang beransur-ansur menuju senja. Hafiz yakin benar bahawa tekadnya tidak salah. Dia sudah buat pengakuan tentang keselesaannya meneruskan hidup sebagai bapa tunggal. Perihal perasaannya hanya dia dan Allah yang Maha Tahu.
Dari satu sudut pandang yang lain, Hafiz dapat menelah bahawa anak-anak amat mengerti persoalan yang membelit. Hafiz maklum, jarak komunikasi yang sedikit melebar dalam keluarga hanyalah persoalan fitrah. Anak-anak kini mencari rezeki di negeri lain. Tiga puterinya kini tidak tinggal bersamanya lagi.
Mereka sudah membawa haluan masing-masing. Kesannya, Hafiz meneruskan hidup sendirian. Rini dan suaminya, Azim di utara. Rina dan suaminya Fazrul pula di Sarawak. Ria si bongsu kini menjalani latihan amali di negara jiran.
Tak peritkah lalui pengalaman hidup tanpa seorang isteri?’ Itulah soalan cepu emas yang kerap berbisik di singgahsana hati.
Hafiz memang rajin melayan bicara hatinya. Dia sedar bahawa dia sendiri yang rela dan reda anak-anak pergi jauh, mengasingkan diri daripada suasana keriuhan seputar kehidupannya.
‘Tak sunyikah, Hafiz? Sepuluh tahun, masya-Allah lamanya!’
‘Tak kuasa aku nak jawab. Soalanmu itu sudah terkandung jawapan!’
Hafiz yang berstatus duda itu bagaikan mengarang autobiografi, melayan kedukaan hatinya. Dalam pada itu, Hafiz seronok benar menggelintar gelagat manusia yang disensasikan peranti komunikasi asbab terbubarnya ikatan hidup yang sudah terjalin! Takdir!
Hafiz seperti pengguna peranti lainnya bukan tidak tahu. Sebagai pendamping peranti komunikasi, Hafiz sedar bahawa akhir-akhir ini tersebar cerita tentang kerapuhan rumah tangga pelbagai lapisan masyarakat.
Corat-coret perkhabaran duka sentiasa sahaja memenuhi skrin peranti diiringi gambar-gambar. Kesemua itu menyentuh naluri, tidak terkecuali Hafiz.
****
Dalam kesinambungan minggu, bulan dan tahun, Hafiz setia mengingati peristiwa pada awal perkahwinannya. Ah, manisnya kenangan itu! Beribu malah berjuta manusia memiliki perasaan sedemikian tentang perkahwinan. Setiap orang tentu mudah melafazkan atau mengimbau kenangan itu dalam kearifan bahasa masing-masing.
Suasana seputar kian kelam, tanda berlabuhnya malam. Monolog yang bersarang terus mengusik hati Hafiz, bagaikan siri refleksi kendiri yang melayan resah gelisah hidup ketika petang kian lanjut meninggalkan tabir siang untuk memasuki daerah malam yang dapat disaksikan dengan amat indah di pantai tenang laut sepi yang berteluk.
‘Takkan sudah serik hidup beristeri! Bukan berbilang isteri pun, hanya itulah seorang yang mampu dimiliki. Itupun belum pasti mencapai tahap kesempurnaan seperti yang lazim dikalimatkan dalam buku psikologi rumah tangga.
Penulis buku tentu sekali mengutarakan pantang-larang sebagai asas membina istana kebahagiaan!
‘Rasanya tidak mungkin ada kehidupan fasa kedua. Sudah masuk usia emas, mana ada harapan!’ Hafiz yakin rumusannya itu jitu, tidak ada cacat celanya lagi.
‘Eh, jangan putus asa, Fiz!’
‘Siapa pula yang putus asa? Aku sebenarnya sudah bersedia menukar busana kesepian ini. Kesediaan itu sudah lama bertunas. Menunggu tunas menjadi pucuk dan daun kenyataan terasa amat meletihkan.’
‘Kau perlu tahu, kawan, naluriku bercambah lagi. Nuraniku subur lagi. Biarpun anak-anak berada di kejauhan, hatiku tetap berkeinginan untuk singgah di syurga hati seorang wanita untuk kesekian kali!’
‘Aku bukan putus asa, sebaliknya aku tak kuasa. Aku tak kuasa merasai sengsara hati, dengan hidup asyik menimbang rasa. Setulusnya, dari satu sisi pandang, aku kini berasa selesa, bebas berbuat apa-apa sahaja yang ku kira baik, tidak menyusahkan orang. Aku bebas ke mana-mana. Yang paling penting aku bebas meraikan hobi memandaikan diri, dengan membaca dan berkarya, seadanya.’
‘Wah, bicaramu ada aura kesombongan diri!’
‘Tidak, tidak! Jangan sebut kalimat itu. Aku bukan sombong, hanya berhelah, melindungi diri. Kau kena faham, diriku sebenarnya sarat dengan kekuatan seorang lelaki yang daif.
‘Mungkin aku bukan seorang suami yang tabah, juga bukan lelaki yang penyabar, bahkan fizikal dan psikologi aku mungkin keletihan mendepani kerenah pendamping, mungkin perlu kepada psikoterapi!’
‘Bunyi macam nada putus harapan sahaja, Fiz!’
‘Mana ada putus harapan, kawan? Aku tetap ada kemahuan. Cuma aku sering kali kalah kepada keadaan persekitaran!’
‘Maksud kau, persekitaran yang macam mana?’
‘Bagi aku, naratif segelintir orang yang bernikah, kemudian berpisah itu amat mendebarkan. Mestikah begitu titik noktahnya sebuah perkahwinan?’
‘Alahai, itu keadaan biasa! Lumrah! Agama kita sendiri sudah membenarkan. Kalau tiada persefahaman, jalan yang terbaik ialah mencari haluan sendiri. Bukan begitu?’
Hafiz mengulangi pendiriannya. Berkali-kali dia membuat penegasan kendiri betapa dia tidak mahu kecewa menempuh jalan yang berliku, denai yang berbukit dan mungkin ada jerlus atau lubang benam di beberapa laluan. Orang kata, fenomena itu lumrah.
‘Aku tidak putus harapan! Dunia perkahwinan yang indah gemilang bagaikan perahu yang tidak bocor, teguh teroleng-oleng di gigi air yang tenang. Situasi itu tidak sukar untuk dibayangkan minda. Bahkan, kalau ku tulis sketsa kehidupan insan dengan tema bahagia, mudah sahaja plot sketsa itu ku garap, insya-Allah!’
‘Ah, sekadar mencoretkan bayangan minda, apalah ertinya? Tambahan pula persepsi keindahan dalam melayari bahtera rumah tangga, lazimnya tidak sukar digambarkan. Olah sahaja kisah yang muluk-muluk!’
Titisan hujan awal pagi masih kedengaran dari kamar. Suasana kamar memang dingin asbab putaran kipas selain secara alamiahnya cuaca penghujung tahun memang kerap dilimpahi hujan.
Hafiz lantas menutup pendingin udara sewaktu bangun untuk bertahajud.
Kedinginan suasana mendorong Hafiz mengimbau tautan bicara silam sewaktu melayari hidup dengan insan yang terpenting.
“Bang, kalau saya tiada, abang kahwin lagilah,” saran Riah, sang isteri.
Hafiz diam, seperti mencari kalimat yang sesuai untuk membalas saran sang isteri.
“Awak ini, tak payah cakap begitulah. Awak sakit, jangan layan emosi yang membuat jangkaan terlalu jauh!”
“Bukan apa, nanti makan minum abang siapa nak jaga?” ujar Riah lagi.
Hafiz diam, berfikir agaknya, kemudian melanjutkan kata-kata, “Pandailah saya mengurus diri. Awak jangan risau!”
“Saya minta ampun, halalkan semuanya, ya bang. Sakit yang saya tanggung ini rasanya semakin berat, semakin tenat.” Riah mengalihkan pandangan ke arah lain.
“Sudah, bertenanglah. Berehat dan berdoa. Saya tetap ada di sini.”
Mariah menempuh kesukaran yang tidak terlakarkan lagi dengan kata-kata. Kadangkala dia menjalani rawatan di rumah. Ada ketikanya, berlaku keadaan yang rumit dalam proses perawatan sehingga dia perlu dihantar ke hospital lalu direhatkan di unit rawatan.
Hafiz enggan mengimbas detik-detik kunjungan yang terakhir di hospital besar. Masih dapat dibayangkan bicara santun seorang pegawai perubatan yang memerihalkan situasi kesukaran sang isteri sewaktu pasukan perawat sudah sampai ke tahap ikhtiar yang sehabis daya mengikut prosedur biasa dalam upaya membantu sang pesakit.
“Saya faham, doktor. Jika segala usaha yang termampu sudah dilakukan, hanya Allah tempat kita berserah!” antara lain luahan hati Hafiz kepada doktor.
****
Masa beredar terus, mengikut ketetapan Sang Pencipta. Hari ini sudah 10 tahun peristiwa kehilangan itu terukir kemas di dalam peti memori Hafiz.
Fitrah perubahan masa meletakkan Hafiz dalam situasi jumud terhadap kerja, meskipun dia kini bertaraf pesara, mantan kakitangan awam.
“Tiada orang yang sanggup pimpin NGO kita ini, Encik Hafizuddin. Pengalaman encik di jabatan kerajaan berguna benar kepada NGO kita. Encik tahu selok-belok pengurusan, tentu rugi jika tak dimanfaatkan,” Harun memujuk Hafiz sewaktu dia mula memakai topi pesara dahulu.
“Bantu sekadar yang mampu bolehlah, ‘tapi saya menolak jika dipilih memegang jawatan utama. Saya ini selama-lamanya orang bawahan!” balas Hafiz, merendah diri benar.
“Takkan bekerja lebih 30 tahun jadi orang bawah saja, Encik Hafizuddin!”
Hafiz tersenyum mendengar kata-kata Harun. Jawatankuasa Kelab Peminat Lagu Rakyat itu ditugaskan memujuk Hafiz agar sanggup memimpin kelab. Katanya lagi, “Minggu depan, dalam mesyuarat agung nanti kami nak cadangkan nama encik sebagai Yang Dipertua.”
“Tinggi benar ‘tu, Encik Harun. Jadi ahli biasa pun saya dapat membantu juga.”
Kesudahannya, dalam tempoh sedekad persaraan, bukan satu kelab serta persatuan yang disertai Hafiz, tetapi ada empat kesemuanya. Masya-Allah, mungkin itu hikmah untuknya atau kesempatan yang digunakan oleh sesetengah orang untuk memanfaatkan keterampilan Hafiz dalam kerja-kerja pengurusan pejabat, termasuk soal surat-menyurat dan komunikasi antara jabatan.
‘Apa nak jadi aku ini! Aku ini pak sanggup atau memang suka berbakti?’ Hafiz tersenyum memikirkan retorik pertanyaan yang berlegar dalam fikirannya. Soalan yang menggetarkan naluri manusiawi itu tidak mampu dijawabnya, hanya terawang-awang.
Dengan kerja yang diamanahkan oleh alumni, Hafiz secara rutin meladeni masanya sebaik mungkin. Dalam persatuan ibu bapa dan guru juga, khidmat kepimpinannya dihargai.
Malahan, hobinya berkarya termasuk menawarkan diri sebagai penyunting akhirnya meletakkan dia dalam situasi menyumbang juga kepada sebuah persatuan yang dianggotai oleh sekumpulan editor di pelbagai rumah penerbitan.
‘Subhanallah, niatku hanya mahu menjadi ahli biasa, bukti betapa darah perjuanganku terhadap bahasa kebangsaan sentiasa segar mengalir di dalam urat nadi dan pembuluh jantung jiwa bahasaku!’ monolog Hafiz, menyerlahkan kualiti mindanya.
Bagi Hafiz, bermonolog antara cara membugarkan benak sedarnya. Awal pagi dia mengarang, menaip sesuatu mengikut kesempatan. Jika ilham mencanak datangnya, karya kreatiflah yang diupayakannya.
Jika rutin berbaur keletihan asbab pemanduan jauh atau beban fikir yang suam-suam gundah, Hafiz memilih kerja yang santai, misalnya mengemas kini biodata penulis yang menyertai projek kompilasi karya selenggaraannya. Begitulah, aturan luwes pengisian masa ciptaannya.
****
“Ayah, hujung minggu ini ayah lapang?” muncul pertanyaan dalam kumpulan sembang keluarga kecil Hafiz.
“Lapang, lapang. Ada apa, Rini?”
“Bukan apa, Rini dan Azim ada tugas dengan firma Azim di Johor Bahru. Balik nanti kami nak singgah Seremban, ajak ayah makan di Senawang, kedai kesukaan ayah ‘tu.”
“Ingatkan nak kenalkan ayah kepada seseorang!” Hafiz sempat bercanda.
“Ayah ‘ni, kalau diperkenalkan pun, ayah cerewet!” balas Rini.
Situasi bersembang menerusi peranti itu ceria seketika. Riang hati Hafiz menerima khabar daripada anak keduanya. Sudah lama cucu tunggal, anak Rini-Azim, tidak bermain di depan matanya sejak mereka menetap di Ipoh. Tiba-tiba Hafiz tersenyum memandang jendela yang terselak langsirnya. – UTUSAN









