PETALING JAYA: Pemain remaja meningkat naik, Muhammad Abu Khalil kembali ke pangkuan Selangor FC selepas tempoh pinjamannya ke FC Osaka berakhir.
Perkembangan tentang pemain Malaysia itu ini diumumkan oleh pengurusan FC Osaka dalam satu hantaran di laman sesawang rasmi pasukan berkenaan, semalam.
“Kami ingin memaklumkan kepada anda bahawa pemain tengah Muhammad Khalil yang menyertai FC Osaka secara pinjaman dari Selangor dalam Liga Super Malaysia bakal meninggalkan FC Osaka pada akhir musim disebabkan tamat tempoh pinjamannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang bersama FC Osaka, Muhammad tidak merekodkan sebarang penampilan dalam saingan J3 League, namun pemain tengah berusia 19 tahun itu menghargai ilmu dan pengalaman yang ditimbanya sepanjang bersama pasukan itu.
“Walaupun saya berada di sini untuk tempoh yang singkat, pengalaman menakjubkan bersama FC Osaka bakal menjadi aset berharga kepada saya,” katanya.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jurulatih, kakitangan kejurulatihan, kelab dan rakan-rakan dan penyokong yang telah menyokong saya secara tetap. Saya akan terus menyokong FC Osaka!,” katanya.
Kepulangan Muhammad dijangka menambah lebih banyak pilihan buat jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi di bahagian tengah yang kini dilihat lebih gemar menggunakan pemain muda. – UTUSAN











