Russia, Ukraine tukar 300 tahanan perang

Russia, Ukraine tukar 300 tahanan perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia dan Ukraine melaksanakan pertukaran 300 tahanan perang semalam, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertindak sebagai pengantara.

Kementerian Pertahanan Russia dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 150 anggota tenteranya dipulangkan oleh Kyiv.

Mereka kini menerima bantuan psikologi dan perubatan di Belarus, sebelum dihantar ke Russia untuk rawatan dan pemulihan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai pertukaran, Ukraine turut menerima kembali 150 warganya, termasuk anggota tentera dan dua orang awam.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam kenyataan di platform media sosial X, mengesahkan 189 rakyat Ukraine sudah kembali selepas pertukaran tahanan itu.

“Kami terus berusaha untuk membebaskan setiap individu daripada tahanan Russia. Ini adalah matlamat kami, dan kami tidak akan melupakan sesiapa.

“Saya berterima kasih kepada pasukan yang bekerja keras untuk membawa rakyat kami pulang. Terima kasih juga kepada rakan-rakan antarabangsa, termasuk UAE atas bantuan mereka,” katanya.

Sejak perang Russia-Ukraine bermula pada 24 Februari 2022, kedua-dua negara sudah mengadakan hampir 60 pertukaran tahanan.

Pertukaran terakhir antara Moscow dan Kyiv berlaku pada pertengahan Oktober, apabila kedua-dua pihak bersetuju menukar 95 tahanan perang masing-masing.

Bulan lalu, Russia dan Ukraine saling menuding jari yang memperlahankan proses pertukaran tahanan.

Bagaimanapun, peguam Russia, Tatyana Moskalkova baru-baru ini menyatakan Moscow sedang berunding ‘pertukaran besar’ dengan Ukraine, namun belum mencapai persetujuan muktamad.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN