Polis buru perompak larikan barang kemas, beg mewah RM56 juta

Polis buru perompak larikan barang kemas, beg mewah RM56 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Polis kini giat memburu seorang perompak yang berjaya melarikan barang kemas dan barangan mewah bernilai lebih 10 juta pound sterling (RM56 juta) dalam rompakan di sebuah kediaman berhampiran kawasan elit Avenue Road, St John’s Wood, London.

Suspek dilaporkan memecah masuk melalui tingkap di tingkat dua sebelum membuka peti keselamatan untuk mencuri barangan berharga, termasuk barang kemas yang direka bentuk khas.

Menurut sumber, lelaki itu memasuki rumah agam 13 bilik tidur tersebut pada pukul 5.11 petang (waktu tempatan).

Memuatkan artikel berkaitan…

Suspek hanya mengambil masa lima minit menggeledah beberapa bilik sebelum turun ke tingkat satu, di mana dia menjumpai barangan berharga dan keluar melalui tingkap sama pada 5.30 petang.

Ketika kejadian, lapan individu termasuk kakitangan dan ahli keluarga pemilik rumah tersebut yang berasal dari Hong Kong berada di tingkat lima kediaman.

Antara barangan yang dicuri ialah beg tangan Hermès Crocodile Kelly bernilai 150,000 pound sterling (RM841 ribu), wang tunai berjumlah 15,000 pound sterling (RM84 ribu) serta barang kemas bernilai 10.4 juta pound sterling.

Barang kemas tersebut termasuk cincin berlian Graff 10.73 karat, dua cincin berlian berbentuk rama-rama oleh De Beers, cincin Hermès 3.03 karat, kalung Niloticus Lumière, serta anting-anting safir merah jambu berbentuk rama-rama dari Katherine Wang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek adalah lelaki berkulit putih, berusia akhir 20-an hingga 30-an, bertubuh sederhana, memakai hoodie gelap, berseluar kargo dan memakai topi besbol kelabu.

Suspek dipercayai bersenjata, dengan salah satu sumber menyatakan dia membawa alat seperti penyembur beracun atau senjata kecil berbentuk penyembur api yang bertujuan melumpuhkan sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Ketua penyiasat, Detektif Paulo Roberts berkata, rompakan tersebut adalah tindakan berani yang melanggar privasi penghuni rumah.

“Barang kemas yang dicuri bukan sahaja bernilai tinggi, tetapi juga mempunyai nilai sentimental dan mudah dikenal pasti kerana rekaannya yang unik,” katanya.

Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menjual barangan curi itu kerana ia mudah dikenali, dan tidak menolak kemungkinan barang tersebut sudah dibawa keluar dari negara untuk dijual di pasaran antarabangsa.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN