PETALING JAYA: Walaupun mengalami batuk berterusan dan demam, pelakon, Datuk Adi Putra tetap meneruskan komitmen penggambaran drama Sekam Di Dada yang disambung semula sejak seminggu lalu.
Menurut isteri, Datin Aida Yusof, pelakon itu tidak mahu sakit yang dihadapi menjadi punca jadual penggambaran terpaksa ditangguhkan.
“Adi belum sembuh sepenuhnya kerana masih demam turun naik dan batuk. Tapi dia tidak pernah tinggal makan ubat. Selalunya jika ada masalah kuman pada paru-paru, doktor sarankan untuk berehat tiga bulan.
“Tapi Adi Putra memang seorang yang sangat bertanggungjawab dan ketat menjaga jadual kerja.
“Dia tidak mahu masalah kesihatan yang dihadapi membuatkan produksi terpaksa menangguhkan penggambaran sekali gus menyusahkan kru, penerbit dan pelakon yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya lagi, demi memastikan keadaan kesihatan pelakon Mat Kilau itu dalam keadaan baik, Aida akan menemani Adi di set penggambaran selain membekalkan buah-buahan bagi menambah tenaga.
“Seminggu ini memang saya menemani Adi di set penggambaran. Kadang memang nampak dia sangat lemah di set penggambaran. Saya ada nasihatkan dia, jika tidak larat, kita boleh berhenti.
“Tapi dia memang mahu habiskan adegan tersebut. Mujurlah pengarah sangat berjaga-jaga. Kalau mereka sudah rasa suara Adi makin perlahan, kita akan berehat seketika,” katanya yang menemani Adi di set penggambaran sekitar Ampang dan Wangsa Maju.
Terdahulu, Adi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas mengalami jangkitan paru-paru dan masalah batu karang.
Masalah kesihatan Adi juga turut disebabkan jadual kerja pelakon itu yang terlalu padat termasuk lakonan dan menguruskan beberapa perniagaan.










