Kerajaan jamin tiada rakyat dipinggirkan

Kerajaan jamin tiada rakyat dipinggirkan

ANWAR Ibrahim selepas mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah memacu pertumbuhan industri pelancongan dan pemeliharaan biodiversiti di Pulau Langkawi, Kedah semalam. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan sudah merangka usaha yang efektif untuk memastikan tiada rakyat dipinggirkan sama ada golongan miskin, anak muda, wanita, warga emas, petani, nelayan, pelajar mahupun warga kota dan desa.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani akan terus bekerja untuk membina masa depan Malaysia yang lebih terangkum dan gemilang.

“Antara keutamaan terpenting Kerajaan Madani sepanjang tahun ini adalah memastikan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang dalam setiap inisiatif yang dirangka dan dilaksanakan.

“Setiap langkah diambil dengan matlamat membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna dan bermaruah,” katanya menerusi kenyataan dalam media sosial semalam.

Sebelum ini, Anwar berkata, sepanjang tempoh dua tahun, Kerajaan Madani sudah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha mengangkat martabat rak­yat dan negara.

Antara yang diperkenalkan ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang lebih memanfaatkan sembilan juta penerima dalam kalangan golongan B40.

Selain itu, kerajaan juga me­laksanakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8.4 juta penerima bagi membeli keperluan asas di 600 kedai runcit dan pasar raya terpilih.

Malah, turut diperkenalkan adalah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang telah memberi manfaat kepada 4,615 peserta daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar sehingga berjaya menambah pendapatan mereka.

Kerajaan Madani komited meneruskan agenda pembangunan inklusif untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Selain itu, Anwar berkata, Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati di samping menerima pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan memperjuangkan isu-isu global khususnya mendukung keadilan untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata, pelbagai siri lawatan rasminya ke luar negara dan kunjungan para pembesar dunia ke Malaysia sekali gus memperkukuhkan hubungan dengan negara lain dan seterusnya melonjak pelaburan serta eksport sehingga menjulang nama tanah air.

Anwar justeru itu berkata, Malaysia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di dalam merintis kebangkitan ASEAN di rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.

“Alhamdulillah, rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat, melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang negara di persada dunia.

“Malaysia kini sebagai rakan strategik yang dihormati, menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu global, terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang.

“Menjelang 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN, membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan. Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Anwar mengadakan pelbagai siri lawatan ke beberapa negara antaranya Brazil, Peru serta China dengan bermula 2025, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN selepas mengambil alih tugas itu daripada Laos.

Sementara itu, Anwar juga memaklumkan kerajaan komi­ted dalam memastikan pertumbuhan industri pelancongan di Langkawi.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu diambil selepas beliau mengadakan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Katanya, inisiatif untuk mempercepatkan beberapa projek termasuk cabang universiti turut diambil bertujuan memberi manfaat kepada penduduk di pulau itu.

“Insya Allah, langkah segera akan diambil bagi memacu pertumbuhan dan merancakkan industri pelancongan sementara terus menjaga biodiversiti di Langkawi.

“Saya juga akan menyegerakan beberapa projek termasuk cabang universiti yang akan memberi manfaat kepada rakyat di pulau ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×