Pakar khuatir kemunculan Penyakit X cetus pandemik global

Pakar khuatir kemunculan Penyakit X cetus pandemik global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang pakar kesihatan memberi amaran mengenai ancaman Penyakit X, iaitu istilah bagi jangkitan tidak dikenali yang berpotensi mencetuskan pandemik global.

Dunia didakwa masih belum bersedia untuk menangani lonjakan kes secara mendadak sekiranya penyakit itu muncul.

Menurut Felo Kanan Penyelidikan Kesihatan Global di Universiti Southampton, Dr. Michael Head, Penyakit X boleh merebak dengan cepat dan mencatat kadar kematian tinggi, seumpama pandemik Covid-19 yang pernah melanda dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun sains perubatan telah berkembang pesat, kita masih belum benar-benar bersedia menghadapi krisis baharu seperti ini. Jika Penyakit X muncul secara tiba-tiba, dunia mungkin akan terkejut sekali lagi seperti semasa penularan Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Mirror UK.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Penyakit X dalam senarai keutamaan untuk penyelidikan segera.

WHO turut melaporkan 31 kematian akibat jangkitan tidak dikenali di wilayah Panzi, Republik Demokratik Congo (DRC), baru-baru ini.

Sebanyak 400 kes dikesan di DRC antara 24 Oktober hingga 5 Disember lalu dengan simptom seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan batuk teruk.

Selain Penyakit X, WHO turut menyenaraikan beberapa penyakit lain yang berpotensi mencetuskan ancaman kesihatan pada 2025, termasuk campak, kolera, demam denggi, influenza burung dan kebangkitan semula Covid-19.

Sementara itu, Covid-19 terus mencatatkan mutasi baharu dengan varian seperti XEC yang mencetuskan peningkatan kes di UK.

Kolera, penyakit bawaan air tercemar, terus menjadi ancaman di Asia dan Afrika, dengan perubahan iklim dijangka meningkatkan kes jangkitan menjelang 2025.

WHO juga memberi amaran mengenai bakteria yang tahan antibiotik, termasuk E. coli, yang kini mencatat peningkatan di UK.

Head menyeru tindakan segera bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan, termasuk melalui vaksinasi dan kebersihan peribadi bagi menghadapi ancaman pelbagai penyakit yang kian meningkat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN