KEHARMONIAN hidup bermasyarakat yang berbilang kaum boleh tergugat sekiranya provokasi agama sering dimainkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Manipulasi sensitiviti agama ini boleh menjadi pencetus ketegangan kaum dan agama yang boleh merosakkan perpaduan dan kedamaian masyarakat yang sudah sekian lama berjaya kita bentuk demi menjaga kestabilan dan kesejahteraan negara. Golongan yang suka membuat onar dengan melakukan provokasi agama adalah golongan yang biasanya mempunyai niat tertentu untuk mencapai agenda kelompok atau kepartian mereka. Jika kelompok ini datang dari parti politik tertentu maka mereka sebenarnya sanggup bermain “api” untuk mencapai cita-cita sempit mereka itu.
Pada asasnya, golongan yang gemar memainkan sensitiviti agama tidak menghormati Perlembagaan Negara, prinsip Rukun Negara dan tidak menghormati kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Golongan terbabit boleh dikategorikan sebagai golongan “parasit” yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Dalam isu-isu provokasi agama ini, Islam dan penganutnya paling sering dicabar dengan sensitiviti agama.
Ia telah dipermainkan oleh mereka yang saya anggap sebagai ‘anti Islam’ dan isu yang sering dibangkitakan mereka ialah isu kalimah Allah.
Mereka memang tidak mempedulikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dalam menjaga hal ehwal agama Islam.
Apa tujuan mereka sebenarnya untuk memainkan isu-isu sensitif seperti ini?
Jawapannya tidak lain hanyalah timbulnya sikap kebencian dan anti Islam yang tidak berasas sama sekali. Permainan jahat mereka ini amat tidak wajar dan mesti diambil tindakan tegas dari sudut perundangan.
Tindakan tegas adalah perlu bukan sahaja untuk mengelak perkara seperti itu berulang dan berleluasa tetapi juga untuk mengelak daripada berlaku insiden atau tragedi tidak diingini berlaku dalam masyarakat kita.
Kita tidak mahu disebabkan kejahilan dan kedegilan pihak tertentu yang bermain dengan sensitiviti agama akan menyebabkan berlakunya salah faham.
Serta perselisihan dan perbalahan dalam kalangan penganut agama dan kaum sehingga membawa perpecahan dan pertumpahan darah.
Justeru, tindakan tegas tanpa kompromi termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA 2012 perlu supaya negara terus kekal aman, stabil dan rakyat hidup bersatu padu.
Namun, undang-undang berkaitan dengannya perlu digunakan dengan betul tanpa tujuan kepentingan politik supaya tidak mencetuskan polemik lain pula seperti polemik politik.
Yang kita mahukan ialah rakyat berbilang kaum dan agama ini hidup saling menghormati antara satu sama lain, bukannya memperlekehkan agama lain yang bukan menjadi anutan mereka.
Kita juga tidak mahu generasi yang ada pada hari ini menyempitkan pemikiran mereka dalam isu-isu agama sedangkan agama itu sepatutnya mengajar kita bersifat terbuka dan memiliki minda yang matang dalam membentuk kehidupan yang sejahtera.
Sikap atau amalan terbaik yang harus ada dalam hidup bermasyarakat ialah penganut sesuatu agama itu jangan mengganggu dasar-dasar kepercayaan agama bukan anutannya.
Malah, seharusnya setiap penganut agama berusaha memahami antara satu sama lain.
Contohnya, dalam konteks penggunaan ‘kalimah Allah’ seharusnya penganut agama lain memahami bahawa dalam world view umat Islam di negara ini mereka telah berpegang kepada kalimah Allah sebagai sesuatu yang bersifat eksklusif yang tidak wajar dicabar oleh penganut agama lain, apatah lagi menggunakan kalimah mulia umat Islam itu pada tempat-tempat yang boleh ditafsirkan sebagai menghina.
Pada hemat saya, daripada sibuk mengganggu gugat kepercayaan umat Islam adalah lebih baik penganut agama lain memahami dan meneladani ajaran dan keperibadian pembawa (pengasas) agama-agama yang mereka anuti itu yang menekankan sifat mulia yang patut diamalkan oleh mereka. Apatah lagi dalam ajaran Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik untuk seluruh umat manusia.
Semua pihak seharusnya menghindar permusuhan terhadap agama lain.
Kematangan dalam beragama sepatutnya mendorong kita mengakui bahawa perbezaan itu adalah keunikan dan kekuatan bagi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.
Perkara yang sepatutnya kita bina ialah nilai-nilai universal yang boleh menjadi titik kekuatan bagi membina kerukunan perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Di pihak umat Islam pula, walaupun memang wajar mereka bersifat sensitif dengan isu-isu provokasi berkaitan perkara-perkara dasar (usul) berkaitan pegangan agamanya, namun mereka masih bersikap rasional dan matang dalam berdepan dengan provokasi-provokasi jahat tersebut.
Sifat umat Islam di Malaysia selama ini amat toleran dengan penganut bukan Islam.
Toleransi dan keterbukaan umat Islam Malaysia ini pernah diakui sendiri oleh imam Masjidil Haram Makkah, Syeikh Dr. Khalid Ali Al-Ghamdi yang pernah melawat negara ini suatu ketika dulu (2013).
Malah, beliau menasihati dan mengingatkan umat Islam agar ketika berdepan dengan provokasi agama perlu bersifat tenang dan teruskan menjaga persepakatan antara rakyat dan kerajaan supaya musuh-musuh tidak mencari ruang untuk memenuhi agenda mereka.
Yang penting, rakyat di negara ini perlu menjauhi tingkah laku yang boleh membangkitkan perbalahan agama dan kaum yang boleh menimbulkan kesan-kesan berangkai yang lain. Kematangan dalam beragama seharusnya berupaya membentuk penganutnya mengawal emosi dan mempertahan sikap bertoleransi antara satu sama lain.
Sekiranya berlaku sebarang bentuk provokasi agama maka cara terbaik ialah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab tanpa pilih bulu atau pilih kasih.
Kerajaan dan pihak berkuasa pula perlu bersikap telus dalam mendepani isu-isu provokasi agama ini dan tidak mengamalkan sikap double standard yang boleh menghilangkan keyakinan terhadap kerajaan. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










