LONDON: Isteri bekas Presiden Syria, Bashar Al-Assad kini tidak lagi boleh kembali ke Britain selepas pasportnya tamat tempoh, menurut laporan media tempatan.
Lapor Sunday Times, Asma Assad yang dilahirkan di United Kingdom (UK) dikatakan tidak boleh pulang ke London tanpa pasport yang sah.
Kini, nasib Asma dan keluarganya menjadi perhatian antarabangsa dengan laporan terkini mengesahkan beliau sedang menjalani rawatan intensif di Moscow.
Terdahulu, Moscow mengesahkan keluarga Assad telah melarikan diri dari Damsyik dan diberi suaka di Russia, namun lokasi sebenar mereka tidak diketahui.
Menurut laporan itu, Asma kini dalam keadaan kritikal akibat leukemia dengan peluang untuk sembuh hanya 50-50.
“Pendedahan mengenai status pasportnya muncul ketika bapanya, Dr. Fawaz Akhras, seorang pakar kardiologi terkenal, meninggalkan tugasnya di sebuah klinik di Harley Street, London untuk menjaga anaknya sepenuh masa di Moscow,” lapor akhbar tersebut.
Tidak jelas sama ada kerajaan UK sengaja menghalang Asma daripada memperbaharui pasportnya yang tamat pada September 2020 atau beliau sendiri membiarkannya luput.
Namun, sumber kerajaan mengesahkan Asma tidak lagi memiliki dokumen perjalanan sah dan tidak akan dibenarkan memasuki UK atas alasan kesihatan.
“Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper tidak akan membenarkan kemasukannya, manakala Setiausaha Luar, David Lammy sebelum ini memberitahu Parlimen beliau tidak dialu-alukan di sini,” menurut laporan itu.
Tamatnya tempoh sah pasport Britain Asma juga bermakna kerajaan tidak perlu lagi mempertimbangkan untuk menarik balik kewarganegaraannya.
Asma Assad dikenakan sekatan oleh UK dan Keatuan Eropah (EU) pada 2012, setahun selepas perang saudara Syria bermula termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.
Bashar yang memerintah Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Russia bersama keluarganya selepas kumpulan penentang rejim menguasai Damsyik pada 8 Disember lalu, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang memimpin sejak 1963.











