BERLIN: Sebuah negeri di barat Jerman, North Rhine-Westphalia bakal membuka pusat aduan anti-Islam pertama di negara itu menjelang musim bunga 2025, lapor media tempatan semalam.
Pusat dikenali sebagai MEDAR, ditubuhkan bagi mendokumentasi dan melaporkan serangan serta jenayah yang mensasarkan komuniti Islam di negara itu.
Negeri itu merupakan tempat tinggal kepada lebih 1.7 juta umat Islam, menjadikannya negeri dengan populasi Muslim tertinggi di Jerman.
Menurut laporan penyiar awam WDR, MEDAR juga akan memantau aktiviti rasis lain yang mensasarkan warga asing bukan Islam.
Penubuhan pusat ini hasil tiga tahun penyelidikan dan dijangka beroperasi pada Mac atau April 2025.
Dengan populasi melebihi 18 juta orang, North Rhine-Westphalia akan menjadi negeri pertama di Jerman yang melancarkan pusat khas untuk menangani insiden berkaitan anti-Islam.
Sebelum ini, negeri tersebut juga menyaksikan beberapa serangan ke atas masyarakat Muslim dan tempat ibadat mereka.
Pada Januari 2022, kubur-kubur umat Islam di bandar Iserlohn dirosakkan, dengan puluhan batu nisan dipecahkan dan diterbalikkan.
Selain itu, pada April 2022, North Rhine-Westphalia turut melancarkan Pusat Penyelidikan dan Maklumat Anti-Semitisme untuk mendokumentasikan insiden anti-Semitik di rantau tersebut.
Langkah terbaru ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu diskriminasi agama dan memastikan hak masyarakat minoriti terus terpelihara. -AGENSI











