PETALING JAYA: AmInvestment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor hartanah, disokong oleh aktiviti perindustrian yang teguh didorong oleh peralihan rantaian bekalan global, peningkatan pelaburan pusat data dan momentum hartanah kediaman yang positif.
Bank pelaburan berkata, pasaran hartanah kediaman untuk mengekalkan momentumnya.
Katanya, permintaan untuk harta kediaman adalah teguh dalam separuh pertama 2024 dengan jumlah bilangan dan nilai transaksi harta kediaman meningkat masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 10.4 peratus tahun ke tahun, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
“Kami menjangkakan momentum akan berterusan berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan untuk menyokong segmen rumah mampu milik, pelancaran semula program Malaysia My Second Home (MM2H) dan keadaan pasaran buruh yang positif yang mampan.
“Permintaan untuk hartanah perindustrian pula didorong oleh peralihan rantaian bekalan global dan peningkatan pelaburan pusat data,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan percaya segmen hartanah perindustrian akan terus didorong oleh dua tema utama pada 2025 iaitu peralihan rantaian bekalan global di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan peningkatan pelaburan pusat data di Malaysia.
“Mengekalkan saranan ‘overweight’ dengan keutamaan kepada syarikat yang menumpukan pada membina pendapatan berulang yang akan memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang.
“Pilihan utama kami ialah Sime Property. Kami juga menyarankan ‘beli’ untuk Mah Sing Group Bhd, S P Setia Bhd dan UEM Sunrise Berhad.
“Walaupun sektor itu kini didagangkan pada purata sejarah, kami percaya penilaian sektor akan disokong oleh nilai bank tanah melalui pelupusan atau pembinaan asas pendapatan berulang untuk taman perindustrian dan pusat data serta momentum jualan kukuh yang berterusan dalam segmen hartanah kediaman,” jelasnya.-UTUSAN










