PETALING JAYA: Trinity Group, pemaju terkemuka di Lembah Klang memfokuskan keselamatan penduduk dengan melengkapkan lima pembangunan utama mereka dengan Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan peralatan bantuan mobiliti dalam langkah yang inovatif untuk landskap kediaman Malaysia.
Inisiatif ini melengkapkan pembangunan mereka iaitu Trinity Lemanja, Zeva @ Equine South, Trinity Aquata, Trinity Pentamont dan Trinity Wellnessa dengan AED, pengusung dan kerusi roda.
Peralatan yang ditempatkan secara strategik ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 11,000 penduduk, memberikan sokongan segera dalam situasi kritikal.
Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group, Datuk Neoh Soo Keat berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kukuh Trinity Group terhadap kesihatan dan keselamatan komuniti.
“Dengan pemasangan AED dan penyediaan peralatan mobiliti, kami melangkaui langkah keselamatan kebakaran biasa untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi semua penduduk.
“Mereka boleh berasa tenang mengetahui bahawa mereka bersedia menghadapi kecemasan.
“Kami percaya pendekatan ini akan membantu meningkatkan standard keselamatan sehingga menjadi norma baharu dalam industri,” katanya dalam kenyataan.
AED merupakan peralatan penyelamat nyawa yang penting untuk individu yang mengalami serangan jantung, salah satu penyebab utama kematian mengejut.
Alat itu membolehkan orang awam memberikan kejutan elektrik untuk menghentikan aritma jantung tidak normal pada mangsa, yang secara signifikan meningkatkan kadar kelangsungan hidup apabila digunakan segera bersama bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Jelasnya, inisiatif yang mulia ini turut selari dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Trinity Group yang lebih luas.
“Dengan memberi penekanan terhadap aspek ‘sosial’ ESG dan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan penduduk, kumpulan melindungi komuniti dan memupuk rasa keselamatan yang lebih baik dalam kalangan penduduk.
“Pelaburan sebanyak kira-kira RM40,000 ini membuktikan dedikasi kumpulan,” ujarnya.-UTUSAN









