PETALING JAYA: Jenama makanan dan minuman yang semakin pantas berkembang, Bungkus Kaw Kaw menyasarkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk semua cawangan mereka pada 2025.
Pegawai Halalnya, Nurul Natasha Rosman berkata, sebanyak 20 cawangan Bungkus Kaw Kaw telah menerima pensijilan halal secara berperingkat.
“Pihak kami membuat permohonan halal secara berperingkat dan berkumpulan secara konsisten setiap bulan.
“Beberapa permohonan yang lain pula masih dalam proses semakan dan audit oleh pihak Jakim.
“Kami menyasarkan lebih banyak cawangan Bungkus Kaw Kaw akan memperoleh pensijilan halal pada suku pertama bagi tahun 2025,” katanya.
Tambahnya, Bungkus Kaw Kaw juga komited untuk memastikan keperluan halal dipenuhi dengan menyediakan hidangan kegemaran rakyat Malaysia.
“Langkah ini diambil untuk mengekalkan integriti halal, disamping memberi jaminan berkenaan keselamatan dan kualiti makanan dengan menyediakan persekitaran yang selesa untuk kepuasan dan ketenangan fikiran pelanggan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, status halal yang dikeluarkan oleh Jakim berfungsi sebagai penanda aras penting bagi pelanggan beragama Islam.
“Ia memberi jaminan kepada mereka bahawa syarikat mengambil serius terhadap kepercayaan agama Islam dan komited untuk menyediakan makanan yang mematuhi standard halal Malaysia.
“Proses pensijilan halal melibatkan prosedur pematuhan yang amat teliti terhadap piawaian dan garis panduan tertentu, di mana masa dan persediaan rapi diperlukan untuk memenuhi keperluan ini.
“Oleh itu, komitmen ini mencerminkan kesungguhan syarikat bagi memenuhi integriti keperluan makanan halal,” katanya.-UTUSAN










