BANDA ACEH: Upacara penuh emosi diadakan di seluruh Asia semalam, untuk memperingati 220,000 nyawa yang terkorban akibat tsunami paling dahsyat melanda pantai sekitar Lautan Hindi, dua dekad lalu.
Tragedi pada 26 Disember 2004 tercetus apabila gempa bumi berkekuatan 9.1 skala Richter menggegarkan hujung barat Indonesia dan menyebabkan siri ombak besar menghentam pantai di 14 negara.
Upacara peringatan di tepi pantai dan keagamaan diadakan di seluruh Asia, termasuk Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand, yang merupakan negara paling teruk terkesan bencana tsunami 20 tahun lalu.
KORBAN TERTINGGI DI INDONESIA
Ramai pelancong asing yang sedang menikmati percutian Krismas di pantai-pantai rantau itu turut menjadi mangsa ombak setinggi 30 meter, menyebabkan tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh dunia.
Runtuhan dasar laut mencetuskan ombak besar dan bergerak dua kali lebih pantas daripada kereta api peluru, yang merentasi Lautan Hindi dalam beberapa jam tanpa amaran.
Menurut EM-DAT, sebuah pangkalan data bencana global yang diiktiraf, tsunami tersebut meragut 226,408 nyawa.
Ketiadaan amaran awal menyebabkan tempoh pemindahan amat terhad, walaupun ombak memerlukan beberapa jam untuk melanda benua yang berbeza.
Indonesia mencatatkan jumlah korban tertinggi, dengan lebih 160,000 orang meninggal dunia di sepanjang pantai barat.
Kejadian itu meninggalkan kesan mendalam buat seorang suri rumah warga Indonesia, Nilawati, 60, apabila tragedi 20 tahun lalu meragut nyawa anak lelaki dan ibunya.
“Saya berharap kita tidak akan pernah mengalami lagi kejadian seperti itu. Saya merasakan kehancuran akibat kehilangan seorang anak dan ia suatu kesedihan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Kejadian itu seolah-olah seperti baru berlaku semalam. Setiap kali teringatkan peristiwa itu, rasanya seperti darah mengalir keluar dari seluruh tubuh,” katanya.
Kehilangan sama turut dirasakan oleh nelayan dari Indonesia, Baharuddin Zainun, 70, apabila seluruh ahli keluarganya terkorban dalam bencana dahsyat itu.
“Anak-anak saya, isteri, ayah, ibu dan semua adik-beradik saya hanyut akibat tsunami. Saya percaya tragedi sama dirasakan oleh orang lain,” katanya.
BANDA ACEH BERTAFAKUR
Di wilayah paling barat Indonesia, orang ramai bertafakur selama beberapa saat sebelum menziarahi kubur besar dan menyertai bacaan Yasin di masjid besar di Banda Aceh.
Sementara di Sri Lanka, yang merekodkan lebih 35,000 orang terkorban, mangsa terselamat dan keluarga berkumpul untuk memperingati kematian 1,000 orang yang maut apabila ombak besar menghentam sebuah kereta api penumpang.
Mereka yang berkabung menaiki kereta api Ocean Queen Express dan menuju ke Peraliya, lokasi tragedi berlaku, sekitar 90 kilometer (km) ke selatan Colombo.
Satu upacara keagamaan ringkas juga dianjurkan bersama keluarga di lokasi tersebut, serentak dengan amalan keagamaan lain bagi memperingati mangsa di seluruh negara pulau Asia Selatan itu.
Di Thailand, separuh daripada lebih 5,000 mangsa korban adalah pelancong asing. Upacara tidak rasmi diadakan termasuk majlis peringatan rasmi oleh kerajaan.
Sebuah hotel di wilayah Phang Nga mengadakan pameran tsunami, tayangan dokumentari dan sesi pengenalan oleh kerajaan serta badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai persediaan menghadapi bencana.
Hampir 300 orang terkorban di Somalia, selain lebih 100 di Maldives dan puluhan lagi di Malaysia serta Myanmar. -AFP









