Pemandu kereta api bunuh diri ketika bertugas

Pemandu kereta api bunuh diri ketika bertugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Tindakan seorang pemandu kereta api membunuh diri ketika bertugas mencetuskan kelewatan dan gangguan terhadap operasi perkhidmatan kereta api di Perancis, kata pengendali SNCF.

Kira-kira 3,000 penumpang kereta api terjejas oleh kelewatan perkhidmatan antara Paris dan tenggara Perancis yang bermula pada Selasa dan berlarutan hingga semalam.

Sekitar 10 kereta api berkelajuan tinggi (TGV) mengalami kelewatan sehingga lima jam pada Selasa selepas kejadian bunuh diri yang berlaku pada malam Krismas, waktu sibuk untuk perjalanan.

Pejabat pendakwa raya di Melun, tenggara Paris memberitahu AFP pemandu tersebut maut selepas melompat keluar daripada kereta api yang sedang bergerak.

Mayatnya kemudian ditemukan berhampiran landasan kereta api.

Pejabat pendakwa raya berkata, berikutan tiada pemandu yang mengawal, prosedur kecemasan automatik kereta api diaktifkan menyebabkan ia berhenti.

SNCF mengesahkan kematian pemandu tersebut dan memaklumkan lelaki terbabit membunuh diri ketika kereta api sedang bergerak.

Tiada ancaman terhadap keselamatan penumpang di dalam kereta api atau perkhidmatan lain di rangkaian, kata syarikat pengendali itu.

Operasi kereta api disambung secara berperingkat pada Rabu, namun SNCF memberi amaran mengenai beberapa kelewatan yang mungkin berlaku.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×