ASTANA: Sebuah pesawat milik Azerbaijan Airlines yang membawa 67 penumpang, terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, hari ini.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Russia dilaporkan terbakar semasa jatuh berhampiran bandar Aktau.
Menurut Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan, laporan awal menunjukkan terdapat 25 penumpang terselamat, dengan 22 daripadanya dibawa ke hospital.
Punca nahas tersebut masih belum diketahui.
Bagaimanapun, agensi berita Russia melaporkan, pesawat Embraer 190, dengan nombor penerbangan J2-8243, tersebut diarah ke laluan alternatif akibat kabus tebal di Grozny.
Badan pemerhati penerbangan Russia berkata, maklumat awal mendapati juruterbang memutuskan untuk membuat pendaratan kecemasan selepas pelanggaran burung.
Pihak berkuasa di Kazakhstan memaklumkan sedang menyiasat beberapa kemungkinan punca nahas, termasuk masalah teknikal, menurut agensi berita Interfax Russia.– REUTERS/BBC











