SARAJEVO: Sebahagian wilayah Bosnia dan Herzegovina terputus hubungan dan lebih 170,000 orang berdepan gangguan bekalan elektrik akibat ribut salji yang melanda kawasan itu, semalam.
Pengedar Elektroprivreda BiH berkata, walaupun pasukan bertugas terus berusaha membaiki kerosakan, situasi bekalan elektrik semakin meruncing.
“Pada masa ini, sebanyak 127,000 titik metering masih terputus bekalan,” katanya.
Elektrokrajina, yang meliputi perbandaran entiti Serb di Bosnia, Republika Srpska, juga mengumumkan sekitar 50,000 penggunanya terputus bekalan elektrik.
“Semua pasukan lapangan yang ada dikerahkan dan bekerja sejak awal pagi untuk membaiki kerosakan,” kata syarikat itu.
Pada masa sama, di bahagian barat Bosnia, keadaan darurat diisytiharkan selepas cuaca buruk menutup semua pintu masuk dan keluar ke perbandaran Drvar, menyebabkan 17,000 penduduk terputus hubungan.
“Keadaan sangat sukar. Salji terus turun tanpa henti. Orang ramai terkandas di dalam salji,” kata Presiden Majlis Perbandaran Drvar, Jasna Pecanac.
Timbunan salji di beberapa kampung sekitar Drvar tinggi sehingga dua meter, manakala ribut salji lebat menyukarkan usaha pembersihan.
“Kami memohon bantuan untuk pembersihan salji. Semua jentera yang ada sudah berada di lapangan,” kata Pecanac.
Salji paling lebat berlaku di bahagian barat negara itu, di mana amaran cuaca tahap merah dikeluarkan.
Institut Hidrometeorologi Serbia turut mengeluarkan amaran salji lebat akan terus turun.– AFP











