PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan jumlah pakar dan kakitangan perubatan mencukupi mengikut nisbah yang ditetapkan sebelum inisiatif Rakan KKM diperkenalkan sepenuhnya.
Rakan KKM akan menjadikan hospital kerajaan terpilih menawarkan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ untuk pesakit luar, pusat jagaan harian dan pesakit dalaman.
Menurut Pakar Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, ia penting agar semua pesakit menerima layanan sama rata tanpa mengira sama ada golongan pertengahan atau golongan berpendapatan rendah (B40).
Malah, katanya, inisiatif baharu ini perlu dipantau secara berkala bagi memastikan segala keperluan sama ada melibatkan pakar atau kakitangan serta pesakit dapat dipenuhi.
“Apabila ada pakar dalam bidang tertentu untuk berkhidmat di hospital Rakan KKM, terdapat kemungkinan mereka akan memberi tumpuan kepada pesakit semi swasta atau mungkin memberi tumpuan pada pesakit yang tidak membayar apa-apa caj.
“Kita tidak mahu nanti ada yang tertinggal, justeru ia perlu dibuat secara lebih adil untuk semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebagai rekod, Rakan KKM merupakan cadangan baharu dengan menjadikan hospital kerajaan terpilih sebagai hospital ‘semi swasta’ dengan caj perkhidmatan dikenakan pada kadar tertentu bergantung kepada pendapatan atau golongan B40 mahupun M40.
Selain itu, Rakan KKM memberi peluang kepada semua petugas penjagaan kesihatan termasuk pakar yang terlibat untuk menjana pendapatan tambahan.
Menurut Dr. Sharifa Ezat lagi, inisiatif ini juga mampu mengelakkan hospital kerajaan kekurangan pakar perubatan untuk satu tempoh pada masa akan datang.
“Inisiatif ini mampu memberikan pendapatan tambahan kepada hospital kerajaan yang terlibat menerusi caj yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah serta secara bersasar.
“Ini sekaligus dapat meningkatkan pendapatan hospital terlibat selain menambah kemudahan di hospital kerajaan,” katanya. – UTUSAN










