Penulisan tafsir al-Quran terus berlaku setiap zaman dengan penambahbaikan susun atur, kupasan, sumber rujukan dan penggunaan laras bahasa yang sesuai dengan zaman.
Seorang tokoh yang besar sumbangannya dalam penulisan tafsir dengan kaedah tematik ialah Prof. Dr. Mustafa Muslim. Beliau banyak memberi khidmat kepada ilmu tafsir al-Quran dengan menghasilkan karya dalam bidang ini, pengajaran dan juga menyelia projek besar dalam ensiklopedia tafsir tematik.
Dalam muqaddimah salah satu penulisannya berkaitan ijaz al-Quran beliau menyatakan bahawa pada era mutakhir umat Islam telah kembali kepada al-Quran. Perkara ini sudah menjadi realiti dengan mereka dapat menerima kajian berkaitan al-Quran.
Banyak kelas al-Quran dibuka, madrasah untuk menghafaz al-Quran dibangunkan, ramai yang mengikuti halaqah al-Quran di masjid dan ilmu berkaitan al-Quran disebar luas di setiap negara umat Islam.
Dr. Mustafa dilahirkan pada 1940 di daerah Halab, Syria. Di peringkat menengah dan ijazah pertama beliau mengikuti pengajian di Damsyik, Syria. Dalam pengajian master beliau menyambung pengajian di Universiti al-Azhar dan berjaya menamatkannya pada 1969.
Setelah itu beliau meneruskan pengajian di peringkat PhD di al-Azhar juga dalam jurusan tafsir dan ulum al-Quran dan berjaya pada tahun 1974. Tesis PhD beliau dianugerahkan pangkat cemerlang.
Dalam kerjayanya, beliau berkhidmat sebagai guru di maahad ilmu di Arab Saudi selama sembilan tahun. Diikuti dengan jawatan pensyarah di Universiti Imam Mohamad Ibn Saud Islamiyyah di Riyadh bermula 1974 hingga 1984. Kemudian beliau dinaikkan kepada jawatan Prof. Madya pada 1984 dan dinaikkan ke pangkat profesor pada 1994.
Pada tahun 1997 hingga 2010 beliau berkhidmat di Universiti al-Syariqah dan dilantik ketua jabatan syariah. Khidmat terakhir beliau ialah sebagai Rektor Universiti al-Zahra di kota Ghazi Antab di selatan Turki bermula pada tahun 2014.

TAFSIR TEMATIK
Tafsir tematik atau maudhui adalah satu bentuk tafsir yang mengutamakan tema dan hubungkait kumpulan ayat dalam sesuatu surah.
Kepentingan tafsir tematik ini amat jelas jika dilihat kepada pengajaran, panduan dan kesimpulan yang dirumuskan dari ayat tersebut.
Ia boleh dizahirkan melalui kajian terhadap kalimah yang digunakan dan mengenali ikatan munasabah yang kuat antara tema dalam sesuatu surah. Pemerhatian juga dilakukan untuk membanding antara permulaan surah dengan akhir surah dan juga ayat-ayatnya.
Tafsir kaedah tematik ini mula bertapak dan mengukuh dalam pengajian tafsir semenjak setengah kurun yang lalu. Kaedah ini juga sudah diperakui di peringkat universiti dan menjadi sebahagian modul pengajarannya di samping subjek tafsir tahlili, tafsir ijmali dan juga perbandingan tafsir.
Tafsir tematik ini diberi perhatian yang tinggi di kalangan penuntut ilmu dan pengkaji namun belum mencapai ke peringkat yang sepatutnya.
Kajian berkaitan tematik ini ditulis di merata tempat berkaitan istilah dalam al-Quran dan kaedah yang sama digunakan untuk mentafsir beberapa surah. Mengikut kajian beliau, belum ada seorangpun yang membuat satu kaedah yang lengkap untuk mentafsir keseluruhan surah dalam al-Quran dengan kaedah tematik.
Oleh kerana itu ketika dilantik sebagai pensyarah di universiti, beliau bercita-cita tinggi semenjak 35 tahun yang lalu untuk menyempurnakan penulisan tafsir tematik.
Sehinggalah pada tahun 2004, Allah SWT memberi anugerah kepada beliau untuk berada di Universiti al-Syariqah di mana beliau diberi tanggunjawab sebagai ketua satu jabatan untuk mengkaji al-Quran dan al-Sunnah.
Serentak dengan itu satu kumpulan penyelidik di bentuk yang belum pernah ada kumpulan kajian tafsir sebegitu diwujudkan. Pada mulanya setiap pengkaji mengemukakan metode untuk dibangunkan tafsir tematik tetapi terdapat perbezaan kaedah yang dikemukakan.
Justeru satu nadwah dalam kalangan pakar tafsir diadakan bagi membincang kaedah dengan lebih berkesan dan langkah yang perlu diambil untuk menjayakan projek besar ini.
Hasil perbincangan tersebut, perkara yang diputuskan dan perlu ada dalam tafsir tematik ialah pendahuluan surah yang menyatakan nama surah, kelebihan dan munasabah.
Tafsir Ijmali yang mengambil kira tafsir al-Quran dengan al-Quran, hadis, isu-isu akidah, fiqh dan tidak menyentuh isu berkaitan bahasa, balaghah kecuali jika amat kuat hubungan dengan makna ayat.
PENGAJARAN AYAT MENGIKUT TEMA
Projek ini mula dirintis oleh sekumpulan pensyarah yang dikenali kepakaran mereka dalam bidang tafsir. Kelayakan mereka dinilai melalui penulisan yang telah mereka hasilkan dalam bidang tafsir al-Quran dan mendapatkan persetujuan mereka untuk menjadi panel penulis.
Kesemua mereka adalah pemegang PhD dalam bidang tafsir, ulum al-Quran dan mereka masih berkhidmat sebagai pengajar di universiti.
Dr. Mustafa berkata, cabaran yang besar dalam menghasilkan Tafsir Tematik dengan sekumpulan penulis ini ialah wujud perbezaan dalam kalangan panel sama ada cara tafsir dan idea.
Walaupun telah diterangkan prinsip dan kaedah yang telah ditetapkan namun masih jelas tempat-tempat yang berbeza dari sudut uslub. Perbezaan sebegini tidak dapat diatasi secara keseluruhannya.
Dr. Mustafa berkata, penuntut ilmu boleh mengambil banyak manfaat dengan projek ini dan akan bangkit seseorang untuk menulis seluruh tafsir al-Quran dalam bentuk tematik untuk menyatukan uslub dan manhaj. Tafsir ini berjaya diterbitkan dengan 10 jilid iaitu pada tahun 2009.
Setelah selesai projek tafsir tematik di atas, satu projek besar berkaitan Tafsir Tematik dengan kerjasama pusat kajian al-Quran dengan Universiti Malik Saud. Projek ini diketuai oleh Dr. Mustafa.
Seramai 166 orang terlibat menjayakan projek ini yang memakan masa selama tujuh tahun untuk disiapkan. Semua penulisan tafsir dinilai oleh 100 panel yang dilantik.
Hasil projek ini telah berjaya dicetak pada tahun 2019. Kitab tafsir tematik yang lengkap ini berjumlah 36 jilid yang mengandungi 354 tajuk untuk seluruh al-Quran.
Sumbangan Dr. Mustafa dalam ilmu berkaitan tafsir al-Quran adalah amat besar sama ada pengajaran, penulisan dan penyeliaan projek tafsir tematik.
Selepas berkhidmat dalam tempoh yang lama kepada al-Quran dan penulisan tafsir, pada 17 April 2021 bersamaan 5 Ramadan 1442, tokoh ini meninggal dunia.
- Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










