Mendepani cabaran institusi agama Islam

Mendepani cabaran institusi agama Islam

SELEPAS 67 tahun merdeka, tibalah masanya untuk kuasa Mahkamah Syariah yang selama ini terhad kepada individu Islam dilebarkan kepada entiti atau syarikat milik orang Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada penghujung 2024 ini, kita dimaklumkan akan penangguhan bacaan kedua Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Peluang bagi menambah baik punca kuasa institusi mufti dan institusi agama Islam yang semedang dipertikaikan di platform mahkamah melalui pelbagai prosiding semakan kehakiman nampaknya terpaksa ditangguhkan lagi.

Bukanlah suatu yang asing kebelakangan ini untuk para peguam yang mewakili institusi agama Islam terpaksa bertarung mempertahankan Islam dan institusinya dengan hanya bergantung kepada akta atau enakmen yang terhad dan tidak berkembang sedangkan cabaran terhadap keabsahan punca kuasa fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Mahkamah Syariah bertali arus menerpa bagai air bah yang jika tidak dikawal boleh menyebabkan pecahnya sebuah empangan.

Keperluan mewujudkan perundangan khusus bagi institusi mufti bukan hanya terhad kepada Wilayah Persekutuan tetapi juga perlu diperluaskan ke seluruh negara sebagaimana Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004.

Perundangan khusus ini boleh menjadi senjata ampuh bagi memastikan ketetapan yang dibuat oleh mufti khususnya melalui fatwa tidak hanya dipandang remeh dalam perbicaraan di mahkamah tetapi dikuatkuasakan menepati kehendak fatwa itu. Jika fatwa diiktiraf kuasanya barulah ia ‘ada kelas’ selari dengan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Dalam mendepani pelbagai cabaran yang kelihatan boleh mengurangkan kuasa Dewan Undangan Negeri ( DUN) dalam menggubal perundangan Islam, ada baiknya kita membuka pintu baharu bagi memberikan kuasa luas kepada institusi agama Islam seperti Mahkamah Syariah dan institusi mufti dan tidak hanya bergantung kepada papahan Perlembagaan Persekutuan sedia ada kerana jika lama sangat kita bertahan menggunakan kerangka peruntukan sedia ada tanpa pembaharuan, lama kelamaan jatuh juga menyembah bumi.

RUU 355

Selain RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024, satu lagi Rang Undang-undang yang masih tersangkut adalah Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355. Akta ini berpunca kuasa dari Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam memutuskan hukuman jenayah syariah yang setakat ini terhad kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali (“356”).

Terdapat cadangan agar bidang kuasa Mahkamah Syariah ini dinaikkan kepada denda tidak melebihi RM100,000, sebatan tidak melebihi 100 dan penjara sehingga 30 tahun dan beberapa cadangan lain pada jumlah berbeza. Apa pun jua hujah bagi menaikkan hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri, adalah wajar kerana ia ia manifestasi perkasanya institusi kehakiman itu.

KESALAHAN JENAYAH

Jika dilihat pada had maksimum Mahkamah Syariah sedia ada iaitu 356, julat hukuman hanya sedikit berbanding dalam cadangan pindaan baharu. Perlu diingatkan bidang kuasa ditetapkan di dalam Akta 355 ini adalah had maksimum bagi hukuman sesuatu kesalahan jenayah syariah. Ia masih terpulang kepada DUN menetapkan hukuman bagi setiap kesalahan jenayah.

Jika RUU 355 atas apa jua nama diluluskan kelak, terdapat kebarangkalian setiap DUN tidak menggunakan had hukuman maksimum baharu contohnya RM50,000 tetapi memilih jumlah di antara minimum dan maksimum yang berbeza bagi kesalahan sama yang boleh menyebabkan perbezaan kadar hukuman antara negeri dalam kesalahan jenayah syariah yang sama.

PINDAAN

Dalam memperkasakan undang-undang syariah, perkara utama perlu ditekankan tidaklah terhad kepada pindaan terhadap Akta 355 ini tetapi mengukuhkan tapak yang menjadi asas kepada kewujudan Mahkamah Syariah.

Pindaan perlu dilakukan adalah terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Terdapat dua klausa pengecualian yang membataskan kuasa DUN untuk menggubal undang-undang syariah.

Pertamanya, sebagaimana dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan yang memutuskan 16 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah sungguh pun jelas peruntukan itu adalah di bawah kategori Perintah Agama Islam atas alasan ia telah ditangani oleh undang-undang Persekutuan.

Dengan adanya klausa pengecualian pertama ini, DUN tidak boleh menggubal apa-apa kesalahan jenayah yang telah ditangani oleh undang-undang Persekutuan walaupun perkara itu melanggar syariat Islam dan ada sebahagiannya telah wujud dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri.

Had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dalam Akta 355 ini adalah berpunca daripada kewujudan klausa pengecualian Perlembagaan Persekutuan. Sungguhlah janggal apabila

Mahkamah Syariah untuk orang Islam dalam wewenang negeri tetapi had kuasa hukumannya perlu mendapatkan persetujuan 222 ahli parlimen dari seluruh negara dan ada di antara mereka bukan Islam pula.

Selepas 67 tahun merdeka, tibalah masanya untuk kuasa Mahkamah Syariah yang selama ini terhad kepada individu Islam dilebarkan kepada entiti atau syarikat milik orang Islam atau dirujuk sebagai al syakhsiah al iktibariyyah. Ini berkait rapat dalam penguatkuasaan fatwa terhadap bukan sahaja individu Muslim tetapi juga entiti milik orang Islam. Untuk tujuan itu, adalah penting pindaan dibuat di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri bagi menambah baik tafsiran orang Islam termasuk juga entiti atau syarikat yang para pemegang saham majoritinya orang Islam atau institusi Islam lainnya.

Jika terdapat pindaan tafsiran baharu ini, Mahkamah Syariah akan mempunyai bidang kuasa terhadap entiti atau institusi untuk dijadikan pihak-pihak di Mahkamah Syariah. Adalah amat wajar untuk entiti ini tertakluk kepada perundangan syariah kerana jika dikecualikan maka ada pihak yang berselindung di sebalik entiti yang sengaja mencabar fatwa dan perundangan syariah dengan alasan mereka adalah entiti bukan individu Muslim yang kerana ini tidak tertakluk di bawah fatwa atau kuasa Mahkamah Syariah.

Kini terdapat pula pandangan oleh kerana Mahkamah Syariah dan fatwa hanya mengikat individu Islam, maka Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri juga tidak boleh menjadi pihak dalam apa jua prosiding di Mahkamah Syariah. Maka adalah sukar untuk Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri dapat melaksanakan segala fungsinya yang diberikan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.

Jika itulah keadaannya, menjelang tahun 2025 ini perlu ada kesatuan dari semua pemegang taruh merentasi kabilah politik dan manhaj agar institusi agama Islam kita lebih dihormati dan proses menambah baiknya itu tidak selalu terhenti-henti dek perbezaan faham sesama kita sendiri yang akhirnya menguntungkan pihak lain.

DATO’ IKBAL SALAM ialah peguambela dan peguamcara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×