MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memaklumkan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai usaha menamatkan perang di Ukraine dan menegaskan tidak akan mengenakan sebarang syarat untuk memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Kyiv.
Trump, yang akan kembali ke Rumah Putih bulan depan menggesa rundingan dimulakan, mencetuskan kebimbangan di Kyiv bahawa beliau boleh memaksa Ukraine menerima keamanan dengan syarat yang menguntungkan Moscow.
“Saya tidak tahu bila saya akan berjumpa dengan Trump. Beliau belum mengatakan apa-apa mengenainya, saya juga tidak bercakap dengannya lebih empat tahun. Saya sudah bersedia untuk itu, sudah tentu, bila-bila masa.
“Kami juga sentiasa mengatakan bahawa kami bersedia untuk rundingan dan kompromi.
“Pada pendapat saya, tidak lama lagi tidak akan ada lagi yang mahu berjuang di Ukraine. Kami bersedia, tetapi pihak lain perlu bersedia untuk kedua-dua rundingan dan kompromi,” katanya.
Pada sidang akhbar akhir tahun tahunannya semalam, pemimpin berusia 72 tahun itu berkata, tenteranya memegang kuasa di medan perang.
Putin bercakap dengan nada yakin tetapi terpaksa mengakui tidak tahu bila Russia akan mengambil semula bahagian wilayah Kursk yang dipegang oleh Kyiv sejak Ogos.
Putin berkata, Russia tidak mempunyai syarat untuk memulakan perbincangan dengan Ukraine dan bersedia berunding dengan sesiapa sahaja, termasuk Presiden, Volodymyr Zelenskiy.
Tetapi beliau berkata, sebarang perjanjian hanya boleh ditandatangani dengan pihak berkuasa sah Kyiv, yang buat masa ini hanya Parlimen Ukraine.
“Zelenskiy, yang tempoh perkhidmatannya akan tamat awal tahun ini tetapi telah dilanjutkan kerana undang-undang tentera, perlu dipilih semula untuk Moscow menganggapnya sebagai penandatangan yang sah kepada mana-mana perjanjian bagi memastikan ia boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang,” kata Putin.
Putin menolak idea untuk bersetuju dengan gencatan senjata sementara di Kyiv, sebaliknya menegaskan perjanjian damai berpanjangan dengan Ukraine sahaja yang akan diambil kira.
Ditanya sama ada akan melakukan sesuatu yang berbeza jika boleh kembali ke Februari 2022 ketika pertama kali melancarkan serangan di Ukraine, Putin mendakwa hanya menyesal tidak melakukannya lebih awal.
“Mengetahui apa yang berlaku sekarang, saya fikir keputusan sebegitu sepatutnya diambil lebih awal.
“Russia sepatutnya mula bersedia untuk acara ini, termasuk operasi ketenteraan khas,” katanya, menggunakan istilah rasmi Moscow untuk konflik itu.-AFP/REUTERS











