Mampu angkat kereta seberat satu tan

Mampu angkat kereta seberat satu tan

DAMIA Emilsya Mohd. Zakaria membolot dua kejuaraan dalam acara Malaysia’s Strongest Man & Women 2024, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FIZIKALNYA dianggap ‘kecil’ dengan ketinggian hanya 154 sentimeter (cm) dan berat 65 kilogram (kg), namun mampu mengangkat kereta Perodua Myvi yang mencecah 1 tan.

Kegagahan luar biasa Damia Emilsya Mohd. Zakaria, 21, melayakkannya membolot dua kejuaraan dalam acara Malaysia’s Strongest Man & Women 2024, baru-baru ini.

Kedua-duanya dalam kategori Wanita Kuat bawah 70kg dan Strongfit Wanita.

Sebelum itu, beliau turut mengungguli kejohanan Kesuke Strongwoman Open 2024.

Melakukan hatrik dalam tempoh setahun merupakan satu kejayaan besar buatnya apatah lagi dapat mempertahankan takhta wanita terkuat tanah air, di usia yang masih hijau.

“Sebagai muka baharu dan paling muda dalam sukan ini, bukan mudah untuk berentap dengan otai-otai yang berpengalaman serta berbadan lagi besar daripada saya.

“Tetapi itu bukan alasan untuk berundur atau rasa rendah diri kerana misi saya mahu membanggakan ibu bapa dan menjadi contoh terbaik kepada adik-adik.

“Saya bukan orang yang pintar dalam akademik dan ini sahajalah ‘anugerah’ yang boleh saya hadiahkan kepada mereka,” katanya kepada Seri.

Selain Perodua Myvi, beliau pernah mengangkat pacuan empat roda mewah, Hummer dan Proton Wira.

Menceritakan penglibatannya, Damia Emilsya berkata, ia bermula sejak tiga tahun lalu berikutan kerap mengikut bapa, Lukman Hakim Ismail ke gim.

Ketika itu, beliau mencari-cari aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengisi masa terluang setelah menamatkan latihan menunggang kuda bersama ibu, Rita Mohamad.

Di peringkat awal, matlamatnya hanya sekadar suka-suka, tetapi lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami sukan berkenaan dengan lebih serius.

“Saya menjalani ‘ujian’ selama seminggu dengan ayah dan tanpa disangka berjaya melepasi setiap latihan berat yang diberikan hingga diterima sebagai ‘pelajarnya’.

“Sejak itu, saya tidak henti berlatih dan melakukan rutin-rutin atlet orang kuat termasuk yoke dan farmer walk di samping mengangkat beg pasir seberat 60kg.

“Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, fizikal saya berubah dengan badan jadi lebih lebar dan berotot berbanding sebelumnya kurus,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini kemudian memberanikan diri menyertai Pertandingan StrongFit Johor 2022 dan dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Kejayaan itu menyuntik semangatnya untuk meneruskan perjuangan sebagai atlet hingga muncul juara dalam Kejohanan Strongman & Woman Singapura pada tahun sama bagi kategori bawah 62kg.

Diejek badan sado, rosak peranakan

Perjalanan bergelar orang kuat menuntut banyak pengorbanan dan ‘kesakitan’ sepanjang menjalani sesi latihan.

Damia Emilsya pernah pengsan ketika melakukan rutin kaki, malah air matanya mengalir laju ketika mengangkat bebanan di peringkat awal.

Situasi itu adakalanya dikongsikan dalam hantaran video di TikTok menerusi akaun, Mia the beast princess.

“Latihan saya sangat berbeza daripada atlet-atlet orang kuat lain dan saya tidak rasa ada yang boleh mengikuti pendekatan saya atau bertahan dengannya.

“Ia terlampau berat dan intensif, bukan hanya menguji kekuatan fizikal, malah mental,” ujarnya.

Jiwa remajanya pernah putus asa untuk meneruskan sukan itu kerana tidak sanggup menanggung lelah, namun rasa itu lekas dibuang jauh-jauh apabila memikirkan keluarga.

Katanya, segala kerja keras dalam sukan orang kuat itu adalah demi membanggakan keluarga, lantas enggan usahanya berakhir sekerat jalan.

Di sebalik pujian yang diterima, beliau tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kecaman netizen gara-gara berbadan sado.

“Setiap kali keluar, orang pandang saya dengan pelik dan antara komen-komen yang sering ditinggalkan ialah perempuan tidak elok miliki badan begini termasuk turut mendoakan saya masuk neraka.

“Ada juga yang menyindir tidak takut ke peranakan jatuh tetapi saya sudah lali dengan kata-kata negatif itu,” katanya.

Walaupun fizikalnya sado, tetapi tidak menghilangkan sifat-sifat kewanitaan, malah gemar bersolek dan bergaya feminin seperti rakan seusia lain.

Jadi jurulatih, buka akademi

Bagi memperkasakan sukan orang kuat di negara ini, Damia Emilsya memiliki perancangan untuk membuka akademi khas di Melaka.

Hal itu kerana, katanya, industri sedia ada masih lagi kecil tidak seperti di negara-negara luar. Malah, sukan orang kuat wanita turut dilihat suram dan kurang dikenali berbanding bagi lelaki.

“Dari dulu hingga sekarang, kebanyakan yang bertanding adalah orang yang sama, jadi dengan adanya akademi kelak, kita dapat membangunkan lebih ramai bakat-bakat kaum hawa dan muda.

“Perkembangan itu sekali gus akan memeriah dan merancakkan lagi industri apabila ada pesaing-pesaing baharu untuk berentap,” katanya.

Sebagai langkah pertama bagi merintis usaha besar itu, beliau melengkapkan diri dengan sijil kejurulatihan.

Tumpuannya kini adalah untuk melatih mana-mana individu yang mahu berjinak-jinak dalam sukan orang kuat.

Namun, beliau menyedari yang kekurangan fasiliti orang kuat di gim-gim menjadi kekangan terbesar yang menyebabkan sukan itu masih tidak berkembang.

Idam jadi polis

Walaupun cemerlang dalam sukan orang kuat, Damia Emilsya sebenarnya menaruh impian untuk menyarung seragam Sang Saka Biru.

Penuntut Diploma Penyiasatan dan Kepolisan, Kolej Unikop di Cyberjaya ini optimis untuk bergelar pegawai polis di masa depan.

Ketika ini, dia menjalani latihan praktikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, Melaka.

“Selepas tamat diploma, saya berhasrat untuk menyambung pengajian peringkat ijazah pula sebelum mengatur langkah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kalau ditakdirkan dapat jawatan itu, saya tetap akan meneruskan minat pada sukan orang kuat sebagai wakil PDRM,” katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini, Damia Emilsya tidak menetapkan jabatan atau bahagian tertentu yang mahu disertainya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×