Semua motosikal 150cc wajib dilengkapi ABS

Semua motosikal 150cc wajib dilengkapi ABS

Semua motosikal baharu berkapasiti enjin 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua motosikal baharu berkapasiti enjin 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sistem ABS ini dijangka dapat mengurangkan kadar kecederaan akibat kemalangan ja­lan raya kepada penunggang mo­tosikal sehingga 30 peratus.

“Kami mahu pengeluar dan pengedar motosikal bersiap sedia untuk mematuhi peraturan ini menjelang tarikh pelaksa­naan.

“Pengguna pula digalakkan untuk memilih motosikal yang mempunyai ciri keselamatan se­perti ABS,” katanya ketika menjawab soalan Se­nator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara semalam.

HASBI HABIBOLLAH

Beliau menjawab soalan Se­nator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah-langkah yang diambil Kementerian dalam menangani isu keselamatan penunggang mo­tosikal.

Sebelum ini, Timbalan Perda­na Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk mewajibkan semua motosikal enjin berkapasiti 150cc memiliki sistem ABS.

Katanya, langkah tersebut di­lakukan kerajaan bagi mena­ngani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan pe­nunggang dan pembonceng motosikal.

Kata beliau, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

“Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini, Walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada tahun 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.

“Kita dapati lebih daripada 6,000 kematian setiap tahun. Kubur-kubur ini bersamaan dengan keluasan enam padang bola,” jelasnya.

Sementara itu, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memberi peringatan kepada semua penunggang dan pemilik motosikal, JPJ akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula November lalu di seluruh negara.

Katanya, , penguatkuasaan sehingga hujung tahun ini bagi memastikan pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Katanya, pelaksanaan Ops Khas Motosikal itu adalah susulan statistik membimbangkan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70 peratus.

“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke-tiga dan ke-empat tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus seperti ini dilaksanakan.

“Ini untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×