DAHULUNYA beliau seorang aktivis pelajar. Kini di usia 35 tahun, ADAM ADLI ABD. HALIM muncul pemimpin paling muda dalam barisan Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) selama dua tahun, sejak dilantik pada 2022.
Sejak itu juga, beliau memegang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap muda parti terbesar dalam PKR. Sejak memegang kedua-dua jawatan tersebut, beliau sering menjadi perhatian dan juga tidak terlepas dengan pelbagai kritikan.
Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN, ARIF AIMAN ASROL serta dibantu jurufoto SHIDDIEQIN ZON dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS sempena dua tahun kerajaan perpaduan baru-baru ini.
PERKENAL GERAN DI KBS
Salah satu pembaharuan besar yang dilaksanakan, kita perkenalkan geran-geran atau dana-dana terbuka yang mana boleh diperkasakan, boleh dimanfaatkan oleh rakan-rakan kita di peringkat akar umbi menerusi dana sukan komuniti. Geran padanan sukan ini nilainya tidak sedikit, keseluruhannya hampir RM50 juta untuk tahun ini. Tahun pertama, RM40 juta.
Ini semuanya untuk pastikan di peringkat akar umbi kita perkasakan. Menerusi dana-dana ini, dahulu kelab sukan lebih kecil di peringkat daerah dan negeri, mungkin sedikit susah mahu cari dana sokongan. Jadi, sekarang kita ada satu dana yang boleh jadi sebagai sedikit asas, kita boleh nampak hasil sedikit sebanyak juga. Walaupun belum lagi, contohnya di temasya dunia, kita belum dapat lagi emas pertama Olimpik. Kita juga belum menuai hasil yang lumayan di peringkat Asia atau Sukan SEA.
Tetapi kita boleh nampak kesinambungan persediaan kita berdepan dengan temasya akan datang, lebih ramai atlet yang kita sudah boleh cungkil bakat-bakat baharu untuk jadi atlet pelapis kita. Sayang kalau kita terus bergantung kepada atlet senior yang sekarang ini, yang mana satu hari nanti, mereka lama-kelaman akan bersara.
PEMBANGUNAN BELIA
Kita mulakan balik Rakan Muda sebagai salah satu kenderaan untuk memastikan golongan belia ada platform tersendiri raikan minat mereka, beraktiviti, gilap bakat masing-masing. Kita boleh bersama rakan-rakan anak-anak muda golongan belia boleh cari landasan untuk mereka sedikit sebanyak membangunkan kepentingan mereka dalam institusi dan sebagainya.
Kita juga boleh nampak kerjasama yang jauh lebih rapat antara Majlis Belia Malaysia (MBM) dan KBS, menerusi siri perbincangan malah penganjuran Hari Belia Negara. Daripada kita yang anjurkan, sebaliknya kita perkasakan golongan belia dengan MBM jadi penganjur. Kita beri tanggungjawab dan kepercayaan untuk mereka memimpin mencorakkan masyarakat.
ROMBAK PERSATUAN SUKAN DAN BELIA?
Persatuan yang bernaung di bawah KBS, sukan dan belia, ada banyak masalah, kita kena akui. Tetapi KBS bukan sebuah kementerian yang ada penguatkuasa macam kementerian lain. Kita adalah kementerian yang menguruskan persatuan yang ada autonomi masing-masing.
Kita perlu menguruskan isu-isu tanpa kita melangkaui bidang kuasa mereka. Contohnya, kalau ada persatuan sukan yang ada masalah, dalam bidang kuasa pesuruhjaya sukan itu ada perkara yang boleh ambil tindakan tetapi tidak sampai tahap kita boleh campur tangan secara keseluruhan. Persatuan sukan sangat sensitif dengan isu campur tangan kerajaan.
Begitu juga dengan persatuan belia, di saat kita kata kita ingin perkasakan belia, kita tidak boleh ‘cucuk hidung’, terus-menerus ingin dictate (menyuruh dan memaksa) persatuan belia. Ia memerlukan usaha berbentuk diplomasi, macam mana kita mahu jaga hubungan dengan persatuan. Dalam dua tahun ini, itulah usaha yang terus menerus dilakukan dan hasilnya persatuan yang diperkasakan dan sektor-sektor berkaitan, bila diberi peluang dan dukungan sokongan pengalak oleh KBS, ia boleh capai sasaran yang ditetapkan sebenarnya.
Ambil contoh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) , di sebalik beberapa kemelut yang melanda mereka, bagaimana sekalipun ada prestasi yang harus kita beri pengakuan. Kelayakan Piala Asia dan naik ranking FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), ini kita harus beri kredit.
Ambil juga contoh bidang e-sukan, muncul juara dunia dalam kejohanan-kejohanan besar, ini bukan jasa KBS namun kita percaya jika kita tidak jadi kementerian yang mampu menjadi nilai tambah kepada mereka, saya rasa susah juga mereka mahu kembangkan kapasiti mereka dan capai kejayaan di luar sana.
NASIB ATLET SELEPAS BERSARA
Kita sudah memperkenalkan skim gaji lebih baik kepada atlet dan jurulatih. Kita juga memperkenalkan simpanan persaraan dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), perlindungan sosial untuk atlet semua yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS, skim gaji dan kontrak atlet. Ini semua adalah usaha kita untuk pastikan menangani masalah yang di hadapan dan masalah yang mungkin selama ini kita tidak perasan.
PERANCANGAN TAHUN HADAPAN
Tahun pertama, kita belajar masalah, cuba rungkaikan dan cari penyelesaian. Tahun kedua, kita mula inisiatif-inisiatif baharu dan kita cuba tengok hasil-hasil awal, kita kaji balik sama ada pendekatan yang kita ambil berkesan. Tahun ketiga (tahun hadapan), waktu kita lebih agresif sebarluaskan inisiatif tersebut.
Misalnya TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), kita ada ILKBS (Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan), IKTBN (Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara) dan IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara). Setahun, kita boleh tampung 10,000 pelajar tetapi kebolehpasaran 96 peratus. Jadi, kita lipatkan usaha, tarik lebih ramai belia dan perkenalkan mungkin peluang-peluang baharu di bawah TVET. Kita nampak ada industri-industri yang dekat dengan kita seperti sukan, e-sukan dan automotif, ini kita mula tawarkan di institusi TVET di bawah KBS.
Kita juga tengok ada trend anak muda yang pilih untuk bekerja dalam sektor gig serta sektor pemasaran dan komunikasi seperti pempengaruh dan pekerjaan di media sosial.
Jadi, kita perlu tawarkan kemahiran berbeza, yang ada jangka hayat lebih lama, ada jaminan terhadap perkembangan karier. Sebab itu, kita akan lipatgandakan, perkasakan lagi serta buat kerjasama lebih rapat dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), KPM (Kementerian Pendidikan), Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) dan sebagainya.
Pada masa sama, kita manfaatkan Rakan Muda, tahun depan diberi peruntukan tambahan. Dalam dua tahun ini, kita berjaya tarik lebih dua juta peserta. Tahun depan, kita mula gerakkan Rakan Muda sebagai sebuah agenda bersama, bukan lagi terhad kepada beberapa rakan strategi, anjur program dapatkan peserta, habis begitu sahaja.
Kita perlu pastikan golongan belia yang menyertai Rakan Muda dapat lebih apa yang dia sertai, perlu ada kesinambungan dan nilainya. Apabila dia sertai, dia akan libatkan diri dia dengan lebih banyak lagi, bukan hanya peluang sekali, bukan program sekali sahaja tetapi jadi pergerakan yang dia boleh sertai.
SOKONGAN RAKYAT
Kerajaan sekarang adalah kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi proses rundingan dan tolak ansur. Akan ada dasar yang disokong oleh PH (Pakatan Harapan) tetapi tidak didukung oleh BN (Barisan Nasional). Akan ada dasar yang disokong BN tetapi mungkin tidak disenangi oleh PH.
Tetapi bila masuk pilihan raya, kita nampak jauh lebih baik berbanding waktu kita awal dulu. Dahulu, pendukung satu-satu pihak tidak akan undi satu sama lain. Penyokong PH masih akan ada yang protes kalau calon itu daripada BN. Begitu juga dengan BN, masih akan ada yang mungkin tidak senang untuk sokong calon PH, tetapi perkara ini sudah diuji dalam beberapa pilihan raya baru-baru ini, nampak mula menuai hasil yang lebih positif.
Kalau kita jaga perpaduan atas dasar yang baik, atas prinsip yang betul, ia adalah satu yang boleh diterima dan sebenarnya disenangi rakyat kebanyakan terutama yang atas pagar kerana dia mahu lihat kestabilan politik. Dia ingin lihat keberkesanan kerajaan, dia tidak mahu lagi lihat percaturan atau pertelingkahan politik kosong yang tidak membawa sebarang manfaat di akhirnya.
Prestasi kita baru-baru ini alhamdulillah, ada pembaharuan yang boleh kita lihat sebagai satu tanda yang maju dan baik. Sehingga sekarang, kita lihat sekurang-kurangnya di Semenanjung, pertembungan dalam pilihan raya tidak berlaku, contohnya antara parti komponen dalam kerajaan perpaduan, ia satu kelegaan sebenarnya pada rakyat yang mahukan kestabilan politik.
Sebab premis nombor satu yang kita tawarkan kepada rakyat bila kita tubuhkan kerajaan perpaduan adalah kestabilan politik, memastikan ia diuruskan dengan jelas, baik, teratur dan jauh daripada krisis-krisis politik yang mengancam perjalanan kita sebagai sebuah negara. Jika krisis-krisis politik berlarutan, kita tidak boleh tawarkan perkara yang sama. Selagi kita mampu jaga perpaduan, selagi itu rakyat akan sebenarnya yakin dengan kita.
PH TERUS BERKUASA SELEPAS PRU16?
Saya yakin PKR dan PH akan sentiasa bekerja keras sebab dia tidak datang dengan mudah. Mahu sustain (kekalkan kerajaan) sangat susah. Tetapi dia tidak akan muncul dalam kalangan ahli PKR khususnya, sifat di mana ‘kita sudah ada kuasa, kita boleh buat apa kita suka’. Yang ada, adalah ‘kita sudah ada kuasa, sekarang kita sudah tidak boleh buat apa yang kita suka’. Itu yang saya nampak selalunya sikap yang terbit dan pupuk dalam diri kami.
Kalau rakyat ingin menilai, rakyat harus menilai kepada prestasi kerajaan itu juga, tidak terhad hanya kepada apa yang dikempenkan dalam pilihan raya atau pun dalam platform parti, tetapi juga harus apa yang dilaksanakan oleh kami sebagai kerajaan.
Sokongan rakyat sangat bergantung kepada prestasi ataupun pencapaian yang kita boleh jelmakan atau zahirkan menerusi peluang sebagai kerajaan hari ini.
Bagi saya, keputusan pilihan raya akan datang hanya akan jadi positif sekiranya kita bermula hari ini, terutama sekali bagi yang berhormat wakil rakyat, bagaimana kita laksanakan dasar dan polisi di peringkat kerajaan, kita memastikan kita terus dapat sokongan kepada PKR dan PH.
APA JADI JANJI REFORMASI?
Kita faham dan akui akan sentiasa terima banyak persoalan, kritikan sama ada daripada lawan ataupun daripada kawan. Kita tidak boleh nak puaskan hati semua orang. Tetapi bukan bermaksud kita tidak boleh puaskan hati semua orang, kita tinggalkan semua.
Kita sekarang berada dalam satu suasana yang kita perlu cermat dalam mengatur apa yang kita mahu capai, setiap pihak dalam kerajaan ada cita-cita masing-masing.
Kalau kita tidak boleh capai semua yang kita cita-citakan, jangan kita tinggalkan. Ada kebaikan sebenarnya cita-cita kita itu dan sekurang-kurangnya kita letakkan satu landasan atau asas kepada apa yang kita nak capai.
PRESTASI ANWAR
Sekarang kritikannya dari sudut politik dalam pendekatan kita sekarang, kita lihat bahawa beza masa zaman kita pembangkang tetapi kalau kita jujur, kita seharusnya meletakkan satu petanda aras yang berbeza terhadap kepimpinan Anwar.
Kita tidak boleh meletakkan beliau pada petanda aras yang sama dengan pemimpin yang lepas, yang tidak perlu uruskan perbezaan politik dalam negara, yang tidak perlu uruskan keadaan politik yang ‘bertaburan’ macam hari ini, yang tidak perlu uruskan suasana politik yang tegang dari sudut kaum dan agama, yang tidak perlu berhadapan dengan pasca kebenaran, pasca normal macam dulu.
Ini bukan zaman yang sama petanda aras yang diletakkan. Cabaran yang dihadapi Anwar dalam memimpin semua jauh berbeza. Itu seharusnya kalau kayu ukur dia begitu tinggi, saya harap rakyat juga boleh buat penilaian lebih mencabar, lebih multidimensi dalam kita menilai dan akhirnya untuk kita putuskan sama ada menyokong atau tidak selepas ini.
SIAPA SELEPAS ANWAR?
Saya akan sentiasa melihat PKR sebagai parti yang ada pelapis. Kalau kita tengok umur dalam kalangan pemimpin utama parti sangat muda. Selain daripada presiden, selebihnya naib-naib presiden muda dalam 40 tahun. 50 tahun pun tidak sampai. Yang menjadi pemimpin juga dipilih dalam kalangan berusia, tidak terlalu muda, tidak juga terlalu berumur. Maknanya parti kita sentiasa meraikan pembaharuan, ini satu tradisi dalam PKR untuk memberi laluan terbaik kepada golongan lebih muda, melihat mereka boleh menyumbang lebih banyak, itu adalah salah satu strategi utama bagi parti ini untuk teruskan survival dari dulu lagi.
Kalau ada satu amalan yang dipraktikkan PKR dan nampak berhasil dan sentiasa diteruskan adalah bagaimana kita mencari bakat-bakat baharu dalam parti untuk diangkat sebagai pemimpin. PKR sentiasa cari yang baharu, bukan bermaksud kita tidak hargai yang lama. Yang lama itu sendiri yang cari yang baharu, yang lama itu akan bertindak sebagai mendukung parti, mendukung agenda bahawa yang muda diberi peranan untuk maju ke hadapan dan perjuangkan parti, itu pendekatan yang sentiasa diambil PKR, sebab itu memang tidak akan putus pemimpin pelapis masa hadapan.
Dalam Dewan Rakyat sendiri, lebih ramai wakil rakyat yang muda berbanding lebih senior dalam PKR. Daripada paling muda sehinggalah paling senior, contohnya Taufiq Johari, P. Prabakaran dan kemudian kita ada backbenchers (ahli penyokong) seperti Tan Kar Hing dan R. Yuneswaran, itupun usia baru 30 hingga 40-an, itu karakter dan kelebihan yang ada di PKR.-UTUSAN










