MOSCOW: Seorang pegawai kanan tentera Russia terbunuh dalam insiden letupan di luar sebuah bangunan di Moscow, lapor penyiasat.
Komander Bahagian Pertahan Nuklear, Biologi dan Kimia Angkatan Tentera Russia, Igor Kirillov terbunuh bersama timbalannya apabila letupan berlaku ketika kedua-dua lelaki itu sedang meninggalkan sebuah bangunan di tenggara Moscow awal pagi tadi.
“Sebuah peranti letupan yang disembunyikan di dalam skuter yang diletakkan berhampiran pintu masuk bangunan kediaman diaktifkan pada pagi 17 Disember di Ryazansky Avenue di Moscow,” kata Jawatankuasa Penyiasatan Russia yang bertanggungjawab untuk siasatan utama di negara itu.
Letupan itu memecahkan beberapa tingkap bangunan dan merosakkan pintu hadapan dengan teruk, menurut imej yang diterbitkan oleh media Russia.
Kirillov yang memegang jawatannya sejak 2017, telah dikenakan sekatan pada Oktober oleh Britain atas dakwaan penggunaan senjata kimia di Ukraine.
Letupan itu berlaku ketika operasi ketenteraan khasnya di Ukraine menghampiri ulang tahun ketiga.
Semalam, Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) mendakwa Kirillov secara in absentia tanpa kehadiran beliau kerana menggunakan senjata kimia di Ukraine.
SBU mendakwa senjata kimia digunakan lebih 4,800 kali di negara itu sejak pencerobohan besar-besaran Russia pada Februari 2022.
“Beliau didakwa melakukan jenayah perang. Siasatan praperbicaraan sedang dijalankan untuk mendokumentasikan fakta pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang lain,” kata SBU semalam.-AFP











