DUNGUN: Kira-kira 15 keluarga di Kampung Darat Kubur, Paka, dekat sini, merayu pihak berkuasa menyelesaikan segera isu tanah mendap hingga menyebabkan laluan utama di kampung itu rosak teruk.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, mendapan tanah itu menyebabkan sebahagian jalan runtuh dan lubang besar terbentuk serta tidak selamat untuk dilalui selain ada antara rumah retak.
Seorang penduduk, Nurul Fatihah Zakaria, 29, berkata, mereka terpaksa bergadai nyawa selepas hanya sebahagian laluan boleh dilalui untuk keluar dari kampung tersebut.
“Setiap kali lalu jalan tersebut rasa bimbang jika ia runtuh. Keadaan ini sangat bahaya untuk pengguna terutama kanak-kanak yang menunggang basikal untuk pergi dan balik sekolah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Seorang lagi penduduk, Hamid Ali, 55, berkata, masalah mendapan itu berlaku kira-kira empat tahun lalu dan semakin meruncing sejak akhir-akhir ini selepas hujan lebat pada musim tengkujuh.
“Kalau kita lihat sebahagian jalan yang tinggal itu ada lubang di bawahnya dan hanya menunggu masa untuk runtuh,” katanya yang berharap tindakan segera diambil pihak berkuasa.
Bagi Salman Azmi, 34, pula, mendapan tanah itu turut menyebabkan dinding rumahnya retak.
“Kadangkala saya dan isteri menumpang rumah ibu mentua sebab takut dinding rumah yang dah retak ini menimpa kami,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mencari penyelesaian jangka panjang mengenai isu tersebut.
Menurutnya, buat masa ini sebahagian laluan itu ditutup buat sementara untuk semua kenderaan. – UTUSAN










