Mahkamah Perlembagaan semak pemecatan Presiden Korea Selatan

Mahkamah Perlembagaan semak pemecatan Presiden Korea Selatan

PENUNJUK perasaan daripada kumpulan buruh mengambil bahagian dalam protes menggesa penggulingan Presiden Yoon Suk-yeol di luar Dewan Bandaraya di Seoul, pada 12 Disember lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memulakan semakan mengenai pemecatan Presiden Yoon Suk-yeol pada Isnin, berhubung percubaan undang-undang tentera yang berlaku 3 Disember lalu.

Menurut laporan Yonhap, penyiasat juga merancang untuk memanggil Suk-yeol minggu ini.

Jurucakap Lee Jean berkata, mahkamah akan mengadakan perbicaraan awam pertama pada 27 Disember, selepas enam hakim mahkamah bertemu untuk membincangkan rancangan semakan pemecatan itu.

Kesemua enam hakim mahkamah hadir pada mesyuarat pertama mengenai pemecatan itu, yang diluluskan oleh Parlimen dipimpin pembangkang pada Sabtu lalu.

Perbicaraan pertama akan menjadi ‘persediaan’ untuk mengesahkan isu perundangan utama kes dan menjadualkan perkara lain, kata Lee.

Beliau berkata, Suk-yeol tidak diwajibkan hadir pada pendengaran tersebut.

Mahkamah mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk memutuskan sama ada menggugurkan Sok-yeol daripada jawatan atau mengekalkan kedudukannya.

Pada 2017, mahkamah memulakan hujah lisan kira-kira tiga minggu selepas Parlimen mengundi untuk memecat Presiden ketika itu, Park Geun-hye kerana menyalahgunakan kuasa, dan mengambil masa tiga bulan untuk mengeluarkan keputusan melucutkan jawatannya.

Suk-yeol dan beberapa pegawai kanan berisiko berdepan tuduhan pemberontakan berikutan undang-undang tentera singkat, awal bulan ini.

Satu pasukan penyiasat yang terdiri daripada polis, kementerian pertahanan dan agensi antirasuah merancang untuk memanggil Presiden untuk disoal siasat pada Rabu, lapor Yonhap.

Ahad lalu, beliau tidak hadir sebagai jawapan kepada panggilan untuk disoal siasat bagi satu siasatan berasingan oleh pejabat pendakwa raya.

Undian pemecatan pada Sabtu diluluskan dengan sekurang-kurangnya 12 anggota Parti Kuasa Rakyat (PPP) menyokong, menyebabkan kemelut dalaman, dengan pemimpinnya, Han Dong-hoon mengumumkan peletakan jawatannya semalam.

Dong-hoon secara terbuka menyokong pemecatan Suk-yeol sebagai satu-satunya cara untuk memulihkan keadaan negara.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×