MOSCOW: Dua kapal tangki minyak Russia rosak teruk selepas karam di Laut Hitam dan menyebabkan tumpahan minyak, lapor pihak berkuasa.
Rakaman yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Selatan Russia menunjukkan keadaan sebuah kapal tangki yang musnah dengan kesan minyak kelihatan di permukaan air.
Kedua-dua kapal tangki itu dipercayai hanyut sebelum terkandas di luar pantai dan sekurang-kurangnya seorang anak kapal dilaporkan terbunuh.
Insiden itu berlaku di Selat Kerch yang memisahkan Russia dari Crimea di Semenanjung Ukraine.
Operasi menyelamat membabitkan bot tunda, helikopter dan lebih 50 anggota kecemasan.
Usaha itu menyaksikan 13 anak kapal diselamatkan dari sebuah kapal tangki, sebelum operasi digantung akibat cuaca buruk.
Lebih 14 lagi anak kapal di atas kapal tangki kedua dilaporkan mempunyai keperluan asas yang mencukupi untuk bertahan hidup tetapi dijangka akan terkandas sehingga keadaan bertambah baik.
Presiden, Vladimir Putin mengarahkan pasukan khas ditubuhkan bagi menangani insiden itu, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Vitaly Savelyev dengan pihak berkuasa sedang menyiasat kewujudan kecuaian jenayah.-AGENSI











