Peniaga Dataran Ipoh rayu tidak dipindahkan

Peniaga Dataran Ipoh rayu tidak dipindahkan

SUASANA pengunjung di Carbooth Dataran MBI di Ipoh, Perak – UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kumpulan peniaga kecil di Dataran Ipoh di sini merayu supaya tapak mereka berniaga ketika ini dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti yang diarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Mereka terdiri daripada 80 peniaga Carbooth Dataran MBI di sini yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan terutama makanan dan minuman viral di lot parkir yang dijadikan sebagai tapak perniagaan.

Mereka diarah supaya berpindah ke lokasi baharu selewat-lewatnya sebelum 21 Di­sember ini.

Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, 30, berkata, lokasi perniagaan baharu iaitu di MBI Terrace, tidak jauh dari lokasi sedia ada disifatkan tidak strategik dan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Menurutnya, kawasan perniagaan baharu itu mempunyai jalan sehala yang akan menyukarkan pengunjung ber­banding lokasi sekarang ini yang mempunyai laluan dua hala dan lebih terbuka.

“Hanya 44 peniaga ditempatkan di lokasi perniagaan baharu manakala selebihnya tercicir dalam pemilihan yang dibuat baru-baru ini.

“Kasihan kepada peniaga yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal yang tidak tersenarai untuk dipindahkan ke lokasi perniagaan baharu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum ini, MBI dalam satu sesi libat urus memutuskan supaya penjaja kecil yang berniaga jualan but kereta di dataran itu dipindahkan ke kawasan yang dikenali MBI Terrace, yang tidak mengganggu aliran trafik.

Dalam sesi libat urus itu juga, sebahagian penjaja melalui proses undian tapak baharu dan menerima surat tawaran penyewaan di lokasi perniagaan baharu.

Menurut Elham Mifzal, jualan but kereta yang beroperasi sejak 2022 itu berjaya menarik ramai pengunjung termasuk luar negara kerana keunikan jualan barangan, makanan dan minuman.

Katanya, komuniti peniaga itu di situ semakin dikenali kerana menjual pelbagai makanan tular dalam media sosial.

Jelasnya, pengunjung juga berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dan bersantai di Dataran Ipoh sepanjang jualan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

“Kami sedia akur dengan syarat yang dikenakan sekiranya pihak MBI dapat mengeluarkan lesen atau permit perniagaan dalam usaha untuk mengekalkan tapak sedia ada di sini.

“Kami akan menjaga kebersihan kawasan dan tidak akan menggunakan khemah serta kekal menjual barangan di but kereta tanpa mengganggu laluan pengunjung,” katanya.

Mengenai masalah kesesakan lalu lintas, Elham Mifzal berkata, mereka sedia mengatasi masalah itu dengan melantik pengawal lalu lintas dan jika mereka diberikan permit berniaga di situ.

“Satu memorandum rayuan terhadap pengekalan tapak jualan but kereta ini sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×